Diserang ‘angina’ dalam kereta, polis bantu 'escort' ke hospital

LocalHealth & Fitness
3 Jan 2025 • 10:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video 'Dash Cam' di TikTok menunjukkan polis peronda eskot Alya sewaktu jalan raya sesak.

SHAH ALAM - Tidak sangka perjalanan pulang ke rumah selepas habis waktu kerja bertukar tragedi perit apabila seorang wanita berusia 30 tahun diserang ‘angina’ iaitu sakit dada jangka pendek.

Detik cemas itu dikongsi menerusi platform TikTok, Alia Syahirah memaklumkan, dia terpaksa meminta bantuan daripada polis peronda semasa pihak berkenaan sedang menjalankan tugas.

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang itu menunjukkan keadaan jalan raya sesak disebabkan orang ramai mula pulang ke rumah menyebabkan dia berhenti untuk meminta pertolongan.

“Saya sedang menahan kesakitan, ketika saya menggunakan laluan tersebut saya ternampak pihak polis sedang berhenti di tepi jalan dan maklumkan yang saya mengalami gejala sakit dada, jadi perlu ke hospital dengan kadar segera.

“Setahu saya, kalau seseorang terkena serangan jantung perlu dapatkan rawatan selewatnya 10 hingga 15 minit. Dengan bantuan pihak polis, saya dapat sampai ke hospital dalam waktu itu.

“Nasib saya nampak mereka, kalau tak mungkin saya dah ‘tiada’,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Alya yang bekerja sebagai eksekutif jualan di syarikat peralatan pembedahan memaklumkan penyakit angina itu salah satu kategori sindrom koronari akut (ACS) atau serangan jantung akut.

Selepas tiba di hospital, dia meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan dan terus mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan sebelum dibawa ke zon kuning.

“Anggota polis tunggu sampai saya masuk ke kecemasan baru mereka beredar, saya pun tak sempat nak ucap terima kasih kepada mereka,” katanya.

Alya memaklumkan dia perlu ditahan wad selama tiga hari untuk dipantau oleh doktor pakar.

Katanya, dia dimaklumkan menghidap penyakit itu selepas pemeriksaan ujian elektrokardiogram (ECG).

“Selepas dirawat di kecemasan, doktor diagnos saya ada serangan jantung atau angina,” katanya.

Ditanya mengenai pemakluman kepada keluarga, Alya memaklumkan, keluarganya mengetahui berita berkenaan selepas dia berada di zon kuning.

“Semasa saya ke hospital, keluarga saya ada makan malam bersama. Jadi, saya maklumkan lewat sikit kerana tak mahu mereka risau,” katanya.