KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Dengan berpakaian seksi dan berkasut tumit tinggi, dua gadis pelayan pelanggan (GRO) nekad memanjat bumbung pusat hiburan tiga tingkat di Jalan Barat di sini bagi mengelak dicekup pihak berkuasa ketika serbuan Op Gegar pada Rabu.
Bagaimanapun, operasi yang dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bermula jam 11 malam itu berjaya menahan wanita warga asing terbabit.
Operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut mengesan pelbagai alasan lapuk gadis terbabit bagi mengelak ditahan.
Antara alasan paling kerap diberikan termasuk datang bersama suami, malah ada antara mereka merayu-rayu untuk menghubungi suami yang kononnya berada di rumah.
Pusat hiburan yang turut menyediakan bilik karaoke itu juga diawasi sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk hadapan.
**media[3486128]**
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, 198 individu diperiksa membabitkan 73 warga asing dan 125 warga tempatan.
“Daripada jumlah yang diperiksa ini, seramai 69 orang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan atas pelbagai kesalahan, yang paling tinggi dilakukan ialah menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.
“Wanita ditahan terdiri daripada tiga warga Laos, Thailand (43), Indonesia (4), Vietnam (16) selain tiga lelaki iaitu dua dari Myanmar serta seorang Bangladesh,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini.
Beliau berkata, tindakan akan turut dikenakan ke atas pihak majikan yang menggajikan PATI, manakala kesemua warga asing ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, operasi itu dijalankan bagi membanteras gejala tidak bermoral, khususnya membabitkan individu warga asing.
Dalam perkembangan lain, seramai 670 warga asing ditahan JIM menerusi Op Gegar bagi membanteras aktiviti tidak bermoral di seluruh negara tahun ini setakat 7 April lalu.
**media[3486123]**
Jelas Lokman, majoriti tangkapan membabitkan warga Thailand, China dan Vietnam.
“Antara alasan kegemaran yang sering digunakan wanita warga asing terbabit antaranya ‘datang bersama suami’ atau ‘suami ada di rumah’.
“Ya, ini memang alasan biasa yang kami terima apabila kami membuat serbuan. Apabila ditahan, akan ada alasan yang diberikan bahawa mereka mempunyai pasangan hidup terdiri daripada warganegara,” ujarnya.
Tegas Lokman, JIM tidak mempunyai sebarang halangan bagi mana-mana individu berkahwin dengan warga asing, namun tiada kompromi akan diberikan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

![[VIDEO] Cuba lolos ikut bumbung kilang, 133 PATI dicekup](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)