
DI usia yang masih muda, bukan mudah untuk menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran.
Namun, dengan semangat, disiplin dan dorongan keluarga, Asiah Al-Afifah, 15 tahun, menempuh perjalanan itu dengan tekad yang luar biasa, menjadikan kisahnya satu pengingat bahawa usaha dan kesabaran mampu membawa kejayaan yang mengharukan.
Sebagai anak sulung kepada pendakwah terkenal, Ustaz Abdullah Abdol Razak atau lebih dikenali sebagai UstazLah, Asiah dibesarkan dalam suasana yang menghargai al-Quran.
Persekitaran rumah yang dekat dengan amalan harian berteraskan agama menjadi asas minatnya terhadap hafazan.
Kejayaan ini bukan semata-mata hasil kecerdasan, tetapi disiplin harian dan dorongan keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjalanan penuh keberkatan ini.
Bagi UstazLah, menyaksikan kejayaan Asiah adalah momen yang sangat emosional.
“Saya teringat yang Asiah adalah satu-satunya anaknya yang sempat berjumpa dengan arwah ayah, dan menjadi impian besar keluarganya bermula dengan Asiah dan seluruh keluarganya akan menjadi hafiz al-Quran.
"Saya selalu memberi pesan kepada anak-anak, al-Quran adalah sebaik-baik pembimbing dalam kehidupan dan kepada semua pelajar supaya sentiasa kuat dan teruskan perjuangan untuk mencapai cita-cita hafiz al-Quran" ujarnya.
Dua adiknya, Fatimah As Shifa’, 13 tahun dan Nur Aufa, 15 tahun, juga kini sedang menempuh jalan yang sama, menunjukkan bahawa cinta terhadap al-Quran menjadi budaya keluarga yang kukuh.

Sahabat yang menghargai
Selain bimbingan keluarga, Asiah menimba ilmu di Akademi al-Quran Amalillah (AKMAL) Cawangan KLIA.
Gurunya, Murabbiah Adlyn, menekankan bahawa salah satu kekuatan Asiah ialah kerendahan hati dan adabnya terhadap guru.
"Setiap hari, dia tidak lupa memohon restu, kerana percaya bahawa keberkatan ilmu bermula dengan hubungan baik antara murid dan guru," kongsinya.
Lebih dari itu, Asiah dikenali sebagai sahabat yang menghargai orang di sekeliling.
Dia sering menjadi pencetus semangat dan meraikan kejayaan rakan-rakan, walaupun hanya untuk pencapaian kecil, menjadikan suasana pembelajaran lebih positif dan menyemai motivasi bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL, Ustaz Saifullah Hussin, berkata, sikap positif dan rendah diri Asiah menjadikannya seorang pelajar yang dicintai rakan-rakan dan guru.
"Akhlak sebegini mencerminkan generasi hafiz yang berjaya bukan sahaja dari segi ilmu, tetapi juga sahsiah," ujarnya.
“AKMAL berharap dapat melahirkan para mujahid dan mujahidah yang bukan sahaja dapat menghafal Al Quran dan syahadah dengan cepat, tetapi juga berjaya memiliki kemahiran teknik hafazan berstrategi.
"Pihak kami berharap dapat melahirkan lebih ramai golongan intelektual mahir dan menghafal al-Quran dapat dilahirkan pada masa akan datang. Bagi yang ingin mendaftarkan anak-anak ke program hafazan Al Quran ini, boleh layari laman web www.hafizsetahun.com atau pengajian AKMAL Tahfiz Online www.tahfizonline.com," tambahnya.

AKMAL juga turut membuka peluang kepada orang ramai untuk bersama-sama menyumbang melalui tabung perbadanan wakaf Selangor, pembangunan bagi menyokong usaha AKMAL melahirkan generasi penghafaz al-Quran yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Program Projek kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor dan AKMAL ini bertujuan mengumpul dana bagi membangunkan Maahad Tahfiz Akademi al Quran Amalillah (AKMAL) di Jalan Kebun, Klang yang menempatkan bangunan baharu, asrama pelajar, ruang pembelajaran yang selesa serta kemudahan sokongan lain untuk para pelajar tahfiz.
