Majlis apresiasi al-Quran himpunkan 725 pelajar, bukti minat generasi muda terus mekar

LocalFamily & Parenting
13 Mar 2026 • 11:08 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

Bersempena sambutan Nuzul Al-Quran baru-baru ini, sebuah majlis penuh makna dianjurkan bagi meraikan kecintaan terhadap kitab suci umat Islam apabila seramai 725 pelajar diraikan dalam Majlis Bacaan Al-Quran 30 Juzuk dan Hari Apresiasi Peningkatan Al-Quran dan Hafazan oleh Hatimurni.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu bukan sekadar acara penghargaan biasa. Ia menjadi detik istimewa buat para pelajar apabila usaha mereka memperbaiki bacaan serta mengukuhkan hafazan Al-Quran dihargai di hadapan kira-kira 1,500 ibu bapa dan ahli keluarga yang hadir memberikan sokongan.

Majlis berkenaan turut disempurnakan oleh wakil daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), iaitu Ustaz Syed Fahmi Akmal Syed Isa yang merasmikan acara tersebut.

image is not available

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Hatimurni dalam memperkasakan pendidikan Al-Quran, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, program seperti ini bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pelajar, malah menjadi pemangkin untuk terus memupuk kecintaan terhadap Al-Quran sejak usia kecil.

Sepanjang majlis berlangsung, para pelajar turut terlibat dalam bacaan Al-Quran 30 juzuk secara berjemaah, sebagai simbol kesatuan dan kecintaan kepada kitab suci tersebut.

image is not available

Aktiviti tersebut menjadi antara pengisian utama yang mencerminkan semangat menghayati Al-Quran bukan sekadar sebagai bacaan, tetapi sebagai panduan hidup.

Menariknya, majlis itu turut diselitkan dengan bacaan doa selamat khas buat para pelajar Hatimurni Online yang kini berada di Emiriah Arab Bersatu, atau United Arab Emirates (UAE). Doa tersebut dipanjatkan agar mereka sentiasa berada dalam perlindungan dan rahmat ALLAH SWT sepanjang menuntut ilmu di perantauan.

image is not available

Berkongsi mengenai misi institusi tersebut, pengasas Hatimurni, Ustazah Siti Khadijah Mohni menjelaskan, antara matlamat utama Hatimurni adalah menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam membina asas pendidikan agama yang kukuh untuk anak-anak.

Menurutnya, pendidikan Al-Quran tidak seharusnya dilihat sekadar kemampuan membaca atau menghafaz semata-mata.

image is not available

“Bagi Hatimurni, pendidikan Al-Quran merupakan asas penting dalam membentuk akidah yang kuat, akhlak yang baik serta kefahaman agama yang jelas dalam diri anak-anak,” jelasnya.

image is not available

Beliau turut menambah bahawa usaha memperkukuh pendidikan agama dalam kalangan generasi muda perlu terus diperkasa, terutama dalam dunia moden yang sarat dengan cabaran.

Dalam era digital hari ini, katanya, anak-anak mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh luar yang boleh memberi kesan kepada cara berfikir, pegangan akidah dan pembentukan akhlak mereka.

“Disebabkan itu, pendidikan Al-Quran perlu diperkukuhkan supaya anak-anak mempunyai asas yang jelas sebagai panduan dalam kehidupan,” tambahnya.

image is not available

Pada masa sama, majlis tersebut turut memberi mesej lebih besar kepada masyarakat. Ia bukan sekadar platform menghargai pencapaian pelajar, tetapi juga menjadi inspirasi kepada ibu bapa dan komuniti untuk terus memartabatkan Al-Quran sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan seharian.