Diskaun 50 Peratus Bayaran Tol Sempena Tahun Baharu Cina - Nanta

LocalSales & Promo
7 Feb 2026 • 10:43 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Diskaun 50 Peratus Bayaran Tol Sempena Tahun Baharu Cina - Nanta

KUALA LUMPUR -- Diskaun 50 peratus bayaran tol dari kadar tol biasa diberikan kepada pengguna jalan raya bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026.

Menteri Kerjaya Raya Dato Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan diskaun tol ini akan bermula pada jam 12.01 tengah malam 14 Februari 2026 (Sabtu) dan berakhir pada jam 11.59 malam, 15 Februari 2026 (Ahad).

Katanya, keputusan ini dibuat selepas kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet pada Jumaat bersetuju memberikan diskaun tol berkenaan.

"Implikasi kewangan yang ditanggung Kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM19.5 juta.

"Keputusan ini diambil selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum, dan kepercayaan," maklum kenyataan itu.

Tambah Nanta, pemberian diskaun tol 50 peratus ini diharap dapat meringankan beban kos perjalanan rakyat Malaysia yang merancang perjalanan untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga atau bercuti untuk menyambut awal Ramadan.

Baca juga:

"Inisiatif ini tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.

"Namun ia dikecualikan bagi plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

"Pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya," katanya.

Beliau juga menasihatkan semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.