
KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula pukul 12.01 tengah malam 14 Februari hingga 11.59 malam keesokan harinya.
Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut melibatkan implikasi kewangan kira-kira RM19.5 juta yang ditanggung kerajaan bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat.
Menurut beliau, keputusan itu selaras dengan agenda Kerajaan Madani dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Diskaun ini tertakluk kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol serta Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang, namun dikecualikan di plaza tol sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara lokasi yang tidak terlibat ialah Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuh Raya Utara Selatan dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
Diskaun bantu kurangkan kos perjalanan rakyat
Beliau berkata, pemilihan tarikh tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan puncak selain membolehkan penyelarasan operasi serta logistik di kawasan hentian sebelah dan rehat serta rawat (R&R).
Tambahnya, diskaun berkenaan diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan orang ramai yang pulang ke kampung halaman atau bercuti bersama keluarga.
Dalam masa sama, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi had laju dan papan tanda keselamatan.
Orang ramai juga digalakkan mendapatkan maklumat trafik semasa melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) termasuk aplikasi navigasi, media sosial serta talian Pusat Pengurusan Trafik LLM di 1800-88-7752. – The Malaysian Update
The post Diskaun Tol 50% Dua Hari Sempena Tahun Baharu Cina, Kerajaan Tanggung Pampasan RM19.5 Juta appeared first on The Malaysian Update.

