Diskaun Saman Trafik Sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

5 Dec 2023 • 2:23 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Diskaun Saman Trafik Sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama)Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan pengurangan kompaun saman trafik sehingga 50 peratus sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI bermula 8 hingga 10 Dis ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata tawaran pengurangan kompaun itu tidak termasuk kesalahan lalu lintas bagi 2023 yang melibatkan saman kemalangan, kes mahkamah berstatus waran tangkap atau masih dalam perbicaraan dan kesalahan tidak boleh dikompaun.

“Pembayaran kompaun hanya boleh dibuat di kaunter semakan dan pembayaran saman trafik di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 8 Dis (Jumaat) dan dari 9 pagi hingga 6 petang pada 9 dan 10 Dis (Sabtu dan Ahad),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk membuat semakan awal saman yang dimiliki terlebih dahulu menerusi portal dan aplikasi MyBayar PDRM, sebelum hadir ke kaunter bayaran saman bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan proses pembayaran saman.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan Perpaduan beriltizam meningkatkan pendapatan rakyat pada tahun kedua pentadbirannya tahun depan, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

Bercakap dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV pagi ini, Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata ia meliputi segenap sektor didorong landskap ekonomi yang semakin pulih dan stabil di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber: BERNAMA