Diskaun Tol 50 Peratus Sempena Aidilfitri

LocalSales & Promo
26 Mar 2025 • 8:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Diskaun itu diberikan untuk dua hari iaitu pada 28 dan 29 Mac - Gambar hiasan

MELAKA - Semua pengguna jalan raya bakal menikmati potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan bagi tujuan itu menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM19.69 juta, bagi membayar semula pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat.

Menurut beliau, keputusan memberikan diskaun itu diputuskan pada Mesyuarat Kabinet hari ini.

"Kerajaan MADANI dalam Mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus bermula 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat), dan berakhir pada 11.59 malam 29 Mac (Sabtu).

"Kita beri dua hari (diskaun) supaya pengguna tidak tergesa-gesa dan boleh merancang sebaiknya perjalanan mereka," katanya, seperti dilaporkan BERNAMA. 

Terdahulu, Nanta melakukan tinjauan kerja di sebuah syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Ayer Keroh di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, diskaun berkenaan dikhususkan kepada kenderaan persendirian (Kelas 1) di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Jelasnya, diskaun itu adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan Kerajaan MADANI sebelum ini sejak 2023 bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung.

"la selaras dengan teras utama Kerajaan MADANI iaitu Kesejahteraan dan Ihsan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

"Justeru semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan diskaun tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini," katanya.

Nanta pada sidang media itu turut menasihatkan pengguna agar mengikut jadual waktu perjalanan olen syarikat konsesi lebuh raya, memastikan baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi serta menggunakan pautan paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuh Raya Malaysia. - Getaran, 26 Mac 2025