Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pemberian diskaun tol 50 peratus di lebuh raya terpilih sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025. Diskaun ini sah selama dua hari, bermula 12.01 tengah malam, 28 Mac 2025 (Jumaat) sehingga 11.59 malam, 29 Mac 2025 (Sabtu).

Inisiatif ini dikhususkan untuk kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja dan tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara, seperti Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) serta Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua). Difahamkan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM19.69 juta bagi menjayakan pelaksanaan ini.
Langkah ini juga sebahagian daripada kesinambungan bantuan yang telah dilaksanakan sebelum ini bersempena dengan empat musim perayaan utama di Semenanjung Malaysia. Pengguna lebuh raya digalakkan untuk merancang perjalanan lebih awal serta memanfaatkan diskaun ini sebaiknya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang cuti panjang.




