
KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari sempena sambutan Deepavali 2026 bagi membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun itu berkuat kuasa mulai 12 tengah malam, Jumaat (6 November) hingga 11.59 malam, Sabtu (7 November).
Beliau berkata, inisiatif berkenaan diteruskan sebagai usaha kerajaan meringankan beban kewangan rakyat, khususnya mereka yang merancang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi keluarga sempena perayaan itu.
Menurutnya, pelaksanaan diskaun berkenaan dianggarkan melibatkan bayaran pampasan berjumlah RM20.11 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya terlibat, yang akan ditanggung kerajaan tertakluk kepada pengesahan data trafik.
“Keputusan ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Diskaun berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, selain kenderaan Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak meliputi dua plaza tol sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Nanta berharap inisiatif itu dapat membantu mengurangkan kos perjalanan, khususnya masyarakat Hindu yang pulang ke kampung halaman atau mengunjungi ahli keluarga bagi meraikan Deepavali.
Pelaksanaan diskaun berkenaan akan diselaraskan Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – Getaran, 5 November 2026





