Deepavali 2026: Nikmati diskaun tol 50% pada 6 dan 7 November ini

5 Nov 2026 • 1:32 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

Deepavali 2026: Nikmati diskaun tol 50% pada 6 dan 7 November ini

Sempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal tiba, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% selama dua hari pada hujung minggu ini. Jika anda merancang untuk pulang ke kampung halaman, anda boleh menikmati kadar tol yang lebih murah di kebanyakan lebuh raya di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurut kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun berkenaan akan ditawarkan bermula hari Jumaat, 6 November pada jam 12 tengah malam, sehingga Sabtu, 7 November 2026 pada jam 11:59 malam, menjelang sambutan Deepavali yang jatuh pada hari Ahad, 8 November.

Potongan harga ini sah untuk kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya seluruh negara. Bagi Jambatan Pulau Pinang pula, diskaun turut diberikan kepada kenderaan Kelas 2.

Bagaimanapun, dua plaza tol di sempadan Malaysia-Singapura dikecualikan daripada tawaran diskaun ini:

  • Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
  • Plaza Tol Tanjung Kupang di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA)

Ini bermakna pengguna yang melalui kedua-dua plaza tol berkenaan masih perlu membayar kadar tol biasa seperti biasa.

Pihak kerajaan memperuntukkan anggaran sebanyak RM20.11 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat bagi pelaksanaan diskaun tol tersebut.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan bahawa diskaun 50% ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan bagi meringankan kos perjalanan rakyat pada musim perayaan, terutamanya bagi mereka yang mahu pulang ke kampung atau menziarahi ahli keluarga.

Kementerian melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menyelaras pelaksanaan inisiatif ini bersama semua syarikat konsesi lebuh raya terlibat bagi memastikan kelancaran serta manfaatnya dapat dinikmati pengguna lebuh raya yang layak.

Seperti biasa pastikan baki kad Touch ‘n Go, TnG eWallet, dan kaedah pembayaran anda mempunyai baki yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Untuk makluman anda, inisiatif potongan kadar tol 50% ini meneruskan dasar kerajaan dalam mengurangkan kos perjalanan ketika perayaan utama. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, diskaun 50% mula diperkenalkan ketika Tahun Baharu Cina 2025 bagi menggantikan inisiatif tol percuma sepenuhnya sebelum ini.

Sebagai rekod, kerajaan telah membelanjakan lebih RM200 juta pada tahun 2024 bagi inisiatif perjalanan tol percuma yang meliputi Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

[Sumber: Kementerian Kerja Raya]

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved