
KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Tingkatan Tiga kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Sabak Bernam, Selangor.
Ibu mangsa, Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, berkata anaknya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, dilaporkan jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.
Menurutnya, hasil imbasan CT mendapati anaknya mengalami pendarahan pada kedua-dua bahagian otak, rahang patah serta kecederaan di paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, sepatutnya ada patah tulang rusuk. Tapi laporan perubatan tunjuk rahang dia yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.
Berikutan kejadian itu, Siti Muhaini membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam pada jam 5 pagi tadi.
Beliau juga dimaklumkan bahawa lima pelajar telah ditahan untuk siasatan, namun setakat ini tiada seorang pun tampil memberikan keterangan.
Pada masa sama, Siti Muhaini turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lambat memaklumkan kepada waris tentang kejadian tersebut.
“Pihak keluarga hanya dimaklumkan jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku sekitar 2 pagi. Warden kata Irfan jatuh selepas makan mi segera.
“Tapi dalam laporan perubatan, tiada kesan makanan dalam perut,” katanya.
Ditanya sama ada Irfan pernah mengadu tentang masalah di sekolah, beliau menjelaskan anaknya seorang yang ceria dan aktif.
“Sebelum ini, dia tak pernah sebut ada masalah dengan kawan. Irfan aktif, malah dia memegang jawatan dalam Biro Agama asrama,” katanya.
Terkini, Irfan sedang dirawat di hospital dan masih berada di bawah pemantauan rapi.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kes tersebut.
Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek berkata, pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah berkenaan telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga siasatan selesai.
“Saya ambil maklum berkenaan insiden melibatkan seorang murid di sebuah sekolah di Selangor.
“Murid tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital. Laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tegas beliau, kementerian akan memastikan siasatan terperinci dilakukan melibatkan semua aspek termasuk dakwaan buli.
“Saya doakan agar anak ini diberi kesembuhan segera dan keluarga dikurniakan ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya. - Getaran, 26 Ogos 2025


