.jpg)
TAWAU - Seorang pemuda berusia 26 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol seorang wanita berusia 19 tahun di kediamannya, di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan daripada mangsa mendakwa dicabul dan dirogol suspek yang dikenalinya sebagai jiran di PPR berkenaan, pada Selasa.
Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di rumahnya kira-kira jam 10 malam Khamis.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam selepas mangsa membenarkan suspek masuk ke rumahnya untuk membantu membaiki telefon bimbit.
“Suspek kemudian didakwa membawa mangsa ke sebuah bilik sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek direman selama tujuh hari sehingga 25 September selepas Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan permohonan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. - Getaran, 19 September 2026






