
KLANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pemancing yang masih hilang selepas bot mereka karam di perairan One Fathom Bank ditamatkan sepenuhnya hari ini.
Menurut Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Leftenan Mohd. Azlee Zainal, keputusan itu dibuat selepas tiada petunjuk atau penemuan baharu dikesan sepanjang operasi enam hari sejak Isnin lalu.
Katanya, operasi meliputi kawasan seluas 3,887 batu nautika persegi di perairan Selangor dan Perak termasuk Hutan Melintang serta Bagan Datuk.
“Sehingga pukul 7 malam tadi, tiada petunjuk baharu atau mangsa berjaya ditemui,” katanya di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC), Jeti Sementa di sini malam ini.
Bagaimanapun katanya, aset APMM akan meneruskan rondaan rutin dan pemantauan di kawasan berkenaan.
“Kita juga telah memaklumkan kepada persatuan nelayan dan komuniti maritim supaya bekerjasama sekiranya mempunyai maklumat atau penemuan baharu berkaitan mangsa,” katanya.
Untuk rekod, mangsa yang masih belum ditemui adalah Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49.
Dalam pada itu, bapa saudara Allahyarham Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37, Khairul Muhidin, 47, berkata jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Barat, Shah Alam pada pukul 5.15 petang tadi.
“Kami reda dengan ketentuan Allah dan bersyukur semua urusan termasuk proses DNA berjalan lancar,” katanya.
Sepanjang insiden yang berlaku pada Ahad lalu itu, empat mangsa berjaya ditemui ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43, Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45, iparnya, Muhd. Hamiszar Punirain, 45, serta tekong bot, Zulfikalnain Awang, 47.
Dua pemancing pula meninggal dunia iaitu Mohd. Shahril Abd Rahman, 43, dan Muhammad Ridzuan. – KOSMO! ONLINE
The post Bot Karam: SAR ditamatkan, Raja Mohd. Rozi belum ditemui appeared first on Kosmo Online.






