
PUTRAJAYA: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan wang pelaburan dan saham dari Lembaga Tabung Haji (LTH) bernilai kira-kira RM190 juta.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah pagi ini selepas membenarkan permohonan SPRM.
Terdahulu, individu berusia 60-an itu tiba kira-kira 9.38 pagi dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum di bawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki berkenaan tiba dengan keadaan tangan bergari serta berbaju lokap SPRM.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an telah ditahan kira-kira pukul 3.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Minggu lalu, seramai tujuh individu telah ditahan termasuk seorang wanita yang terdiri daripada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pengarah syarikat, bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bersabit isu RCI Tabung Haji.
Tahanan reman ini adalah susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyemak dan meneliti hasil Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai 2026.
Pada 30 Julai lalu, SPRM telah menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI Tabung Haji termasuk mengenal pasti unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. – UTUSAN
The post Disyaki seleweng wang pelaburan TH RM190 juta: Bekas CEO Tabung Haji direman 7 hari appeared first on Utusan Malaysia.






