Disyaki Simpan Video Lucah Kanak-Kanak Dalam Telefon Bimbit, 2 Lelaki Sarawak Ditahan

20 Dec 2024 • 6:15 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Polis Sarawak Dedah Kes Eksploitasi Kanak-Kanak, Orang Ramai Diseru Laporkan Aktiviti Mencurigakan

Disyaki Simpan Video Lucah Kanak-Kanak Dalam Telefon Bimbit, 2 Lelaki Sarawak Ditahan. Polis Sarawak baru-baru ini telah menahan dua lelaki kerana disyaki mengakses laman web dan menyimpan video lucah kanak-kanak di telefon bimbit mereka. Penangkapan ini dibuat dalam dua kes berasingan di Bintulu dan Miri.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, kegiatan ini terbongkar hasil siasatan yang dijalankan pada April dan November 2024.

image is not available
Disyaki Simpan Video Lucah Kanak-Kanak Dalam Telefon Bimbit, 2 Lelaki Sarawak Ditahan. Gambar sekadar hiasan.

“Suspek ditahan selepas polis menerima maklumat yang mengaitkan mereka dengan kesalahan di daerah masing-masing,” kata beliau, menurut laporan media tempatan.

Disiasat Bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Seksyen ini memperuntukkan hukuman tegas ke atas individu yang didapati bersalah mengakses atau memiliki bahan berkaitan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Kalau sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun, dikenakan denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Polis Seru Masyarakat Ambil Peranan

Dato Mancha turut mengingatkan orang ramai supaya menjauhi aktiviti melayari, mengakses atau menyimpan bahan pornografi kanak-kanak. Katanya, tindakan ini adalah satu jenayah yang sangat serius.

Beliau juga menggesa rakyat Malaysia untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti sebegini kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

Jangan jadi ‘silent witness’! Ayuh bersama-sama lindungi masa depan anak-anak kita.

Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai kes rogol kanak-kanak bawah umur: