Ditahan Selepas Turun Kapal Terbang Peribadi, Pengasas Telegram Didakwa Atas Aktiviti Jenayah

WorldTechnology
29 Aug 2024 • 11:25 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Ketua Pegawai Eksekutif platform Telegram, Pavel Durov baru-baru ini berdepan dengan pertuduhan awal di Perancis atas dakwaan membenarkan aktiviti jenayah pada aplikasi berkenaan, menurut Anadolu Agency (AA), memetik laporan media.

Pihak berkuasa mendakwa aplikasi Telegram memudahkan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak, pengedaran dadah, penipuan dan pengubahan wang haram.

Pun begitu, Sky News melaporkan bahawa syarikat berkenaan enggan memberikan kerjasama dalam siasatan yang sedang dijalankan selain menafikan tuduhan yang diterima. Dalam masa yang sama, pihak Telegram menegaskan bahawa polisi pengendalian mereka mematuhi undang-undang EU dan memenuhi piawaian industri.

image is not available

Berasal dari Russia, Durov yang memegang kerakyatan Perancis sejak 2021 telah ditahan selepas tiba dengan jet peribadinya di Lapangan Terbang Le Bourget berdekatan Paris.

Hakim Perancis telah menghalangnya daripada meninggalkan negara itu sementara menunggu siasatan, walaupun dia mengelak daripada penjara dengan membayar jaminan €5 juta, sekitar RM 24 juta.

image is not available

Walaupun begitu, pihak Rusia telah melabelkan penahanan Durov sebagai bermotifkan politik, menambahkan lagi kontroversi yang menyelubungi kes berprofil tinggi itu.

Sumber : Scoop

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.