KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad digantung daripada semua aktiviti Parti Bersama Malaysia (Bersama) selama tiga bulan, bermula 20 Oktober ini.
Jurucakap parti berkata, penggantungan tersebut berkuat kuasa sehingga 19 Januari tahun depan.
Menurut jurucakap itu, ia susulan pengakuan Nik Nazmi mengenai insiden ditangkap khalwat melibatkan dirinya dan seorang kenalan wanita di Petaling Jaya, Khamis lalu.
“Bersama memandang serius insiden berkenaan dan ia perlu ditangani dengan sewajarnya bagi memastikan integriti parti terus terpelihara, selain mengekalkan kredibiliti serta kepercayaan masyarakat terhadap kepimpinannya,” katanya.
Jelas jurucakap tersebut, tindakan berkenaan adalah langkah yang wajar, meskipun sumbangan dan komitmen Nik Nazmi sejak Bersama dilancarkan semula Mei 2026 tidak dapat dinafikan.
Terdahulu, Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dua hari lalu.
Beliau mengakui berlaku kesilapan dalam insiden berkenaan, namun menegaskan tiada sebarang perlakuan tidak wajar dilakukan.
Dalam kenyataan menerusi Instagram hari ini, Nik Nazmi menjelaskan, beliau sebelum itu berbincang dengan beberapa rakan di sebuah studio di Brickfields di sini, sebelum mengambil keputusan meneruskan perbincangan di Petaling Jaya bagi menyemak bahan berkaitan sebuah projek. - Getaran, 17 Oktober 2026






