
KUALA LUMPUR – “Tidak pernah… tidak pernah dibincang atau diaturkan secara rahsia mahupun secara terbuka untuk memerangkap lawan politik. Itu bukan kerja kitalah”.
Itu penegasan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung dakwaan bahawa parti itu memainkan isu pemimpin politik ditangkap khalwat sebagai taktik untuk melemahkan pihak lawan.
Menurut Amirudin, PKR tidak membawa isu peribadi untuk dijadikan asas pertarungan dan saingan politik.
“Kita pun ada banyak kerja lain daripada nak mengatur khalwat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Semarak Kasih Yayasan Selangor 2026, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang bekas menteri yang juga pemimpin politik ditangkap berkhalwat dengan seorang wanita dipercayai pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di daerah Petaling Jaya.
Hari ini, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, dilapor mengesahkan beliau ialah antara dua individu yang ditahan JAIS, kelmarin.
Sementara itu mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pula, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), berkata gabungan berkenaan sedang melakukan beberapa keputusan akhir.
“Saya menjangka dalam masa seminggu lagi, kita menetapkan beberapa hala tuju lebih jelas dalam pilihan raya berkenaan.
“Kita akan menawarkan calon-calon yang baik… sekarang dalam peringkat akhir untuk ditapis,” katanya.
The post Kita tidak pernah atur perangkap khalwat parti lawan – Amirudin appeared first on Kosmo Online.






