
SHAH ALAM: Pelakon dan pengacara, Nadzmi Adhwa menyifatkan tawaran bayaran serendah RM200 sehari kepada pelakon sebagai tidak lagi relevan dengan komitmen serta kos yang perlu ditanggung sepanjang penggambaran.
Menurut Nadzmi, 34, meskipun lakonan merupakan bidang yang diminati sejak sekian lama, setiap pelakon berhak menerima bayaran yang setimpal dengan tenaga, masa dan komitmen yang dicurahkan.
“Bukan saya memilih dari segi bayaran kerana berlakon memang minat dan jiwa saya. Namun, apabila ditawarkan RM200 sehari, saya rasa duit minyak kereta pun tidak lepas kerana kita memberikan komitmen sepenuhnya di lokasi penggambaran,” katanya.
Nadzmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Weekend Fete Al Aqsa Karpet di sini.
Mengulas lanjut, Nadzmi berkata, dia bersama isterinya yang juga pelakon, Ardell Aryana, tidak pernah meletakkan kadar bayaran yang tinggi atau syarat tertentu sekiranya menerima tawaran untuk kembali berlakon.
Malah, katanya, mereka juga tidak pernah mengumumkan persaraan daripada dunia seni seperti yang diperkatakan segelintir pihak.
“Kalau ada tawaran, kami tidak pernah cakap kami berhenti berlakon. Memang sekarang kami turut memberikan tumpuan kepada perniagaan, tetapi perniagaan kami sudah stabil.
“Jadi, jika tiada jadual penggambaran, kami akan menguruskan perniagaan mi kari yang diusahakan bersama,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nadzmi meluahkan rasa syukur apabila rezekinya dalam bidang pengacaraan terus berkembang apabila diberi kepercayaan mengendalikan majlis sempena Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, saya diberi peluang mengacarakan majlis SUKMA. Insya-Allah, minggu depan saya akan mula menjalankan tugasan tersebut,” katanya.
The post Ditawar bayaran RM200 sehari, duit minyak kereta pun tidak lepas – Nadzmi Adhwa appeared first on Utusan Malaysia.

