‘Tawaran berlakon RM200 sehari, minyak kereta pun tak lepas’

LocalEntertainment
1 Aug 2026 • 5:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tawaran berlakon RM200 sehari, minyak kereta pun tak lepas’

SHAH ALAM – Pelakon Nadzmi Adhwa mengakui rindu berlakon namun sehingga kini masih belum menerima tawaran lakonan sesuai, malah ada bayaran disifatkan terlalu rendah dan tidak setimpal dengan komitmen diperlukan.

Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 34, berkata dia bukan cerewet memilih watak atau meletakkan harga terlalu tinggi, sebaliknya berharap setiap tawaran diberikan mengikut nilai kerja dan pengorbanan seseorang pelakon.

“Memang saya rindu untuk berlakon. Lama sangat rasanya tidak berada di set penggambaran.

“Tetapi kadang-kadang bayaran ditawarkan memang tidak masuk akal. Kalau saya berniaga mi sekalipun, RM200 sehari itu minyak kereta pun belum tentu lepas.

“Bukan saya memilih kerana duit. Saya berlakon sebab minat dan itulah bidang saya. Cuma biarlah bayaran setimpal dengan komitmen perlu diberikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas lanjut, suami kepada pelakon Ardell Aryana itu berharap pihak produksi lebih menghargai tenaga dan masa dicurahkan setiap pelakon sepanjang tempoh penggambaran.

“Janganlah tahu orang mahu berlakon terus tawarkan RM200 sehari.

“Saya tidak mahu sebut produksi mana, tetapi agak-agaklah. Kami beri komitmen sepenuhnya sepanjang penggambaran,” ujarnya pada pelancaran Weekend Fete Al Aqsa Carpets, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Nadzmi bersyukur perniagaan diusahakan bersama isteri menjadi sumber pendapatan utama ketika peluang berlakon semakin berkurangan.

“Kalau saya bergantung kepada lakonan semata-mata tanpa perniagaan, memang susah juga.

“Alhamdulillah, perniagaan sudah stabil. Kalau tiada penggambaran, setiap hari kami menguruskan perniagaan mi di TikTok dan Shopee. Rezeki tetap ada,” jelasnya.

Ditanya sama ada Ardell turut menerima tawaran berlakon, Nadzmi berkata mereka tidak pernah menutup pintu terhadap dunia seni dan sentiasa bersedia sekiranya menerima peluang sesuai.

“Kami tidak pernah cakap hendak berhenti berlakon. Kalau ada tawaran, memang kami mahu buat sebab lakonan tetap menjadi minat kami.

“Kami tidak pernah minta bayaran mahal atau meletakkan permintaan bukan-bukan. Cuma kalau ditawarkan RM200 sehari, rasanya memang tidak berbaloi,” tuturnya.

Sebelum ini, ramai netizen tertanya-tanya mengapa Nadzmi semakin jarang muncul di layar televisyen sehingga timbul tanggapan pelakon terbabit sudah bersara daripada dunia lakonan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Tawaran berlakon RM200 sehari, minyak kereta pun tak lepas’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved