KUALA LUMPUR - Pusat hiburan lima bintang yang menjadi tumpuan pelanggan warga asing dengan ‘peneman’ gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah hotel di Bukit Bintang di sini digempur susulan penemuan bahan disyaki dadah pada Jumaat.
Serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hasil maklumat dan risikan selama kira-kira dua minggu.
Siasatan awal terhadap premis yang menjadi tumpuan warga asing khususnya warga China itu dipercayai turut mengesan pakej pelacuran wanita asing.
Selain itu, Sinar Harian yang berpeluang mengikuti operasi terbabit mendapati terdapat papan di atas meja dengan serbuk berwarna putih disyaki dadah ketamin di beberapa bilik yang dipenuhi pelanggan serta wanita asing.
**media[3522027]**
Malah, berdasarkan maklumat awal anggota operasi, terdapat gadis yang sedang leka menghisap bahan terlarang itu sebelum dikejutkan dengan operasi terbabit.
Terdapat segelintir ‘penghuni’ di setiap bilik bertindak biadab apabila selamba menghisap rokok, memandang remeh arahan pegawai serta meluahkan rasa tidak puas hati ketika pemeriksaan dilakukan pegawai JIM.
Sinar Harian juga difahamkan gadis disyaki GRO ini memasuki Malaysia sebagai pelancong selain menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta pas pembantu rumah.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 243 individu diperiksa dalam operasi ini melibatkan 194 warga asing dan 49 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan, JIM telah menahan seramai 152 warga asing yang terdiri daripada 129 warganegara China, dua Taiwan, lima Vietnam, lima Myanmar, lapan Bangladesh serta masing-masing seorang warganegara Indonesia, Turki dan Vanuatu berusia lingkungan 21 hingga 32 tahun.
“Tindakan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selain sebanyak 17 saman kepada saksi (Borang 29) dikeluarkan,” katanya.
**media[3522028]**
Dedah Zakaria, pusat hiburan itu dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dengan dikawal ketat ‘bouncer’ atau pengawal keselamatan warga tempatan, manakala akses keluar masuk premis hanya diberikan kepada pelanggan berstatus VVIP.
Katanya, harga bagi sebuah bilik bermula daripada RM50,000 dan mencecah RM100,000 bagi sebuah bilik eksklusif yang boleh dilanggan lebih daripada 24 jam.
“Ketika serbuan dibuat, beberapa warga asing berada dalam keadaan khayal dan leka dengan alunan muzik yang kuat sehingga tidak menyedari kehadiran pegawai di lokasi tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, JIM tidak akan berkompromi sama sekali terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas di negara ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggajikan dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.
