
SEPANG - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua anggota polis bulan lalu.
Mohd Shuhaily, 54, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.
Beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman, antara jam 1.17 tengah hari hingga 1.30 tengah hari pada 28 September lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, beliau boleh dipenjara maksimum setahun atau didenda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd Shuhaily pula diwakili barisan peguam diketuai Datuk Rosal Azimin Ahmad, bersama Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Terdahulu, Mohd Shuhaily yang hadir bersut lengkap kelihatan ceria ketika tiba di kompleks mahkamah dalam keadaan kawalan keselamatan ketat, dengan kehadiran ramai anggota polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Beliau turut singgah untuk bersarapan di kafeteria mahkamah, malah mempelawa wartawan dan jurugambar untuk turut serta.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Komander MCBA Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Sebelum ini, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaannya untuk melalui proses perundangan negara dan menerima apa jua keputusan yang dibuat mahkamah berhubung kes berkenaan.
Beliau juga menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan terhadapnya susulan penularan video yang memaparkan beliau menegur dua individu di Terminal 1 KLIA. - Getaran, 21 Oktober 2026





