
KUALA LUMPUR – Seorang guru tuisyen didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual dan seks luar tabii terhadap tiga murid kelas tambahan anjurannya, sejak Julai lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, M. D. Sebastian, 46, yang juga guru sekolah rendah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Ilmami Ahmad.
Bagi dua pertuduhan, dia didakwa meliwat seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, di sini, antara pukul 4.45 petang, Julai 2026 dan 6 petang, 30 September 2026 mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Bagi empat pertuduhan lagi, di masa, tempat dan tarikh sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dan dua lagi kanak-kanak lelaki yang juga berumur 11 tahun.
Perbuatan itu dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Kes dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani dan Mohamad Ikhwan Mohd Nasir manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mansheel Kaur.
Mahkamah kemudian membenarkan Sebastian diikat jamin berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Kedua-dua mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian masing-masing menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 23 November dan 18 Disember ini.
Pada 16 Oktober lalu, seorang guru tuisyen itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melakukan amang seksual dan persetubuhan luar tabii terhadap lima pelajar lelaki berumur antara 12 hingga 16 tahun.
Suspek ditahan pada 10 Oktober lalu kira-kira pukul 11.30 malam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Siasatan polis mendapati, perbuatan terkutuk itu didakwa dilakukan di rumah suspek yang turut dijadikan sebagai pusat tuisyen. – KOSMO! ONLINE
The post Guru tuisyen nafi ‘sentuh’ tiga murid appeared first on Kosmo Online.






