Diunjur catat untung RM52.5 juta pada suku keempat 2023, RHB Investment kekal saranan 'pegang' saham Bursa Malaysia
herman
17/01/2024 - 11:10
KUALA LUMPUR 17 Jan - RHB Investment menjangkakan Bursa Malaysia Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM52.5 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran itu menyaksikan Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan 2023 (FY2023) sebanyak RM223 juta, susut 2 peratus tahun ke tahun akibat belanja mengurus teras yang lebih tinggi.
Katanya, purata nilai harian sekuriti (SADV) pada suku keempat 2023 adalah sebanyak RM2.72 bilion manakala purata jumlah harian (ADV) dalam pasaran mendatar perbandingan tahun ke tahun.
"Kami menjangkakan Bursa Malaysia akan merekodkan untung bersih suku keempat 2023 sebanyak MYR52.5 juta (susut 13% suku ke suku, pertambahan 7% tahun ke tahun).
"Secara suku ke suku (QoQ), kesan positif daripada pendapatan sekuriti lebih tinggi mungkin dilemahkan oleh belanja mengurus yang lazimnya lebih tinggi pada waktu ini dan juga pendapatan derivatif lebih lemah," kata RHB Investment dalam nota kajian hari ini.
Firma itu juga mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Bursa Malaysia dengan harga sasaran (TP) baharu RM8.10 sesaham daripada RM7.60 sebelum ini, potensi kenaikan 10 peratus dan kadar hasil dividen kira-kira 4 peratus untuk FY2024.
Menurut RHB Investment, data operasi bagi pasaran sekuriti menunjukkan permulaan tahun yang mantap bagi Bursa Malaysia.
"Kami membuat andaian kenaikan 17% YoY bagi SADV, lantas diterjemahkan kepada perolehan lebih kukuh buat bursa tempatan ini," katanya.
Jelas firma itu, permulaan suku pertama 2024 mempamerkan prestasi yang baik dengan jumlah SADV meningkat kepada MYR3.44 bilion setakat dua minggu pertama 2024.
"Biar pun harga saham telah mencatat prestasi yang baik dari awal tahun hingga hari ini (YTD) (+6%), kami percaya keadaan politik yang stabil, khabar berita yang positif mengenai ekonomi tempatan dan pembangunan prasarana dan juga kemasukan pelaburan asing dapat mengekalkan kerancakan pelaburan dalam pasaran ekuiti.
"Hal ini seterusnya akan menyokong harga saham. Mengikut pengiraan kami, harga saham dan SADV Bursa Malaysia merekodkan nilai pekali pertalian yang kukuh iaitu 0.7," kata firma itu.

RHB Investment juga berpendapat platform dagangan emas menonjol sebagai potensi pelaburan yang baik memandangkan emas merupakan sejenis pelaburan yang diminati ramai terutamanya dalam kalangan peruncit.
Dagangan emas antara tiga produk baharu yang dilancarkan Bursa Malaysia semalam.
"Namun begitu, kami menjangkakan sumbangan hasil jangka dekat yang rendah daripada usaha-usaha niaga baharu ini, kerana kumpulan ini memerlukan masa dan bagi pertukaran karbon, ia memerlukan sokongan dari segi dasar untuk mengembangkan tawaran-tawaran baharunya dengan lebih kukuh," kata RHB Investment.- DagangNews.com
