Velesto diunjur catat prestasi suku terbaik empat tahun pada 4QFY23 – Maybank IB
diyana
16/01/2024 - 12:12
KUALA LUMPUR 16 Jan - Velesto Energy Berhad diunjur mencatat prestasi suku terbaik dalam tempoh empat tahun pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), yang akan diumumkan pada 27 Februari 2024, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu menjangkakan kadar penggunaan syarikat perkhidmatan bagi industri minyak dan gas itu tinggi pada 89% bagi 4QFY23 dan purata kadar sewaan harian (DCR) campuran sebanyak AS$97,500.
“Anggaran kami yang disemak semula menunjukkan bahawa Velesto akan memperoleh keuntungan bersih teras 4QFY23 sebanyak RM25 juta, tanpa sebarang perubahan kos tidak dijangka - yang akan menjadi prestasi suku tahunan terbaik kumpulan sejak suku ketiga 2019,” ulasnya dalam nota pentelidikan hari ini.
Firma itu menurunkan unjuran keuntungan bersih FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 5% dan 10%, manakala bagi FY25 dinaikkan 6% berdasarkan sasaran terkini yang diberikan oleh pihak pengurusan dengan kumpulan itu mempunyai empat SPS (tinjauan berkala khas) yang dijadualkan untuk FY24.
Maybank IB turut menyemak semula andaian bagi FY23-24 dalam kadar penggunaan masing-masing sebanyak 81%, 82% dan 85%, sementara DCR campuran bernilai AS$93,000, AS$112,000 dan AS$130,000.
Memandangkan terdapat empat SPS pada FY24 dan pembaharuan kontrak dengan purata DCR lebih tinggi bernilai sekitar AS$130,000 bagi FY25, firma tersebut berpendapat bahawa kumpulan itu akan berada dalam kedudukan tunai bersih seawal penghujung FY25 tanpa dasar dividen
“Kami percaya adalah munasabah untuk mengunjurkan pengagihan dividen pada pembayaran 30% daripada keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pada FY25, berjumlah kira-kira 0.9sen sesaham, menghasilkan nisbah hutang kepada equiti sebanyak 0.03 kali ganda,” tambahnya.
Di samping itu, Maybank IB menjangkakan beberapa penerimaan kontrak bagi mengisi jadual kerja pelantarnya memandangkan tiga pelantar Velesto bakal menyelesaikan pekerjaan sedia ada mereka pada awal suku kedua tahun ini,
Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 4 sen kepada 34 sen sesaham.
Saham Velesto telah menokok 1 sen atau 3.9% kepada 27 sen setakat pukul 12:04 tengah hari, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM2.2 bilion. - DagangNews.com



