Sudah terdapat beberapa usaha dilakukan bagi mengharamkan dron DJI di Amerika Syarikat dengan alasan yang sering digunakan ialah risiko risikan oleh China. Hari ini DJI menerbitkan blog yang mengatakan dron mereka mungkin diharamkan pada Disember 2025 sekiranya tindakan tidak dilakukan sekarang.
Menerusi FY25 Akta Kebenaran Pertahanan Nasional (NDAA) yang diluluskan kongres Disember tahun lalu, agensi keselamatan Amerika Syarikat perlu menjalankan penilaian rasmi ke atas dron buatan China. Audit akan dilakukan dalam tempoh setahun bagi menentukan secara adil sama ada teknologi dron sedia ada menimbulkan risiko sebenar atau tidak.

Sungguhpun enam bulan telah berlalu, agensi keselamatan masih belum melakukan audit ke atas DJI walaupun permintaan untuk ia dilakukan telah dihantar pada Mac lalu. Menurut DJI mereka tidak mahu menjadi mangsa diharamkan kerana kegagalan pihak berkuasa melakukan audit dalam tempoh yang ditetapkan. DJI menegaskan mereka bersedia untuk diaudit dan percaya tiada sebarang isu sekuriti akan ditemukan.
Oleh itu DJI kini menyeru pelanggan mereka untuk menghubungi wakil mereka di kongres untuk memulakan proses audit kerana NDAA bukan sahaja boleh menyebabkan dron baharu tidak boleh dijual tetapi dron sedia ada diharamkan daripada diterbangkan.
Mei lalu muncul ura-ura Presiden Trump akan mengeluarkan arahan eksekutif mengharamkan dron keluaran China dengan tidak meluluskan lesen kelengkapan radio nirwayar yang digunakan untuk mengawal dron. Tanpa kelulusan ini dron baharu tidak boleh dipasarkan dan sekiranya diimport secara haram sekalipun pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang.
