DJI Inspire 3 terbang ke udara dengan kamera full frame 45MP, harga lebih RM70k

14 Apr 2023 • 12:17 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

DJI telah mengemas kini keluarga dron professional dengan pengumuman DJI Inspire 3 yang baharu. Ia akan menggantikan DJI Inspire 2 yang dilancarkan dalam tahun 2016 lalu dan kini sudah menjangkau usia 7 tahun. Tentu sekali perubahan besar dibawakan pengeluarnya pada dron kali ini ditambah pula dengan jarak umur yang agak besar antara dua dron ini.

image is not available

Daripada segi rekaan, ia masih mengekalkan rekaan kuadkipas dengan tangan boleh dilipat ke atas selepas terbang. Inspire 3 mengangkut dua bateri sebagai sandaran dan dengan bateri penuh, ia boleh beroperasi selama sehingga 28 minit, 6 minit lebih lama berbanding sebelumnya.

Apabila berada di udara, ia menghantar kandungan video kepada pilot menerusi protokol O3 Pro yang baharu. Pesawat boleh berinteraksi dengan pilot dalam jarak 15km berbanding 7km sebelum ini.

image is not available

Inspire 3 kini menyokong Real-Time Kinematic bagi membolehkan kedudukan pesawat ditentukan dalam julat sentimeter. Inspire 2 hanya menyokong satelit penjejak biasa dan kejituan lokasinya adalah pada paras meter sahaja.

image is not available

Untuk keselamatan, Inspire 3 dilengkapi 9 sensor dengan 6 daripadanya untuk mengesan halangan. Menggunakan semua sensor ini, pilot boleh gunakan ciri pintar seperti Waypoint Pro, 3D Dolly, dan Spotlight Pro.

Bahagian kamera adalah salah satu komponen yang nyata ditambah baik. Inspire 3 mengangkut kamera dengan sensor full-frame dan kini mengguna pakai lensa berkaki DL, kaki lensa proprietari DJI. Generasi sebelum ini menggunakan sensor M43 dengan kaki lensa M43.

image is not available

Untuk merakam video, kamera pada Inspire 3 mampu merakam pada resolusi sehingga 8K/75p dalam ProRes RAW ataupun 8K/25 dalam format CinemaDNG.

Storan yang terbina di dalam dron ini adalah seluas 1TB dan ia menggunakan DJI PROSSD yang boleh ditarik keluar daripada pesawat untuk ditukar dengan sotran baharu sekiranya perlu.

image is not available

Buat yang berminat untuk mendapatkan DJI Inspire 3, ia ditawarkan pada harga USD16,499 (RM72405.86). Bersama-samanya, anda beroleh:

  1. kamera Zenmuse X9-8K
  2. pad kawalan RC Plus
  3. 6 unit bateri pintar TB51,
  4. 1 unit hab pengecas bateri,
  5. 1 unit PROSSD 1GB,
  6. 1 unit kotak penyimpan,
  7. 3 set kipas, kotak
  8. 1 unit kotak penyimpan lensa
  9. 1 unit tali penggantung pad kawalan

Anda boleh layari laman rasmi produk untuk maklumat lanjut.