
DJI Osmo Pocket 4P, varian baharu dalam siri Osmo Pocket, kini rasmi dilancarkan di Malaysia. Ia hadir dengan beberapa peningkatan menarik berbanding Osmo Pocket 4, termasuk sistem dwi kamera, sensor lebih besar, serta keupayaan rakaman video yang dipertingkat.
Harga dan ketersediaan DJI Osmo Pocket 4P di Malaysia

Bagi anda yang berminat, DJI Osmo Pocket 4P kini dibuka untuk tempahan awal di Malaysia, dengan penghantaran dijangka dalam tempoh 30 hari di stor online DJI Malaysia. Ia juga tersedia di Shopee, tapi belum boleh dibeli setakat ini.
Ia ditawarkan dalam dua pilihan pakej pada harga berikut:
- DJI Osmo Pocket 4P Standard Combo – RM2,419
- DJI Osmo Pocket 4P Vlog Combo – RM2,739


Pakej Standard Combo didatangkan bersama lampu Fill Light, kabel USB-C ke USB-C, pemegang (handle), tali strap dan beg pouch.
Sementara itu, Vlog Combo menawarkan lebih banyak aksesori untuk pencipta kandungan, termasuk Osmo FrameTap, kabel magnetik FrameTap, DJI Mic Mini 2 Transmitter, Osmo Mini Tripod, beg penyimpanan serta beberapa aksesori tambahan.
Sebagai perbandingan, model Osmo Pocket 4 dilancar pada harga RM1,999 untuk Standard Combo dan RM2,599 untuk Creator Combo.
Spesifikasi Osmo Pocket 4P

Keseluruhan fizikaliti Osmo Pocket 4P tidak berubah berbanding model Pocket 4 biasa. Tapi perubahan ketara terletak pada modul kamera.
Kalau Osmo Pocket 4 hanya dilengkapi satu kamera, Osmo Pocket 4P kini hadir dengan sistem dwikamera. Kamera utamanya menggunakan sensor CMOS 1-inci bersama lensa sudut lebar 20mm f/2.0, yang menawarkan julat dinamik sehingga 17-stop menerusi teknologi LOFIC. Ia membolehkan kamera merakam lebih banyak butiran pada bahagian terang dan gelap, sekali gus menghasilkan imej yang lebih seimbang dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Satu lagi kamera yang dimuatkan ialah lensa telefoto 60mm f/1.8 yang menggunakan sensor 1/1.28-inci. Kamera ini menyokong zum optikal 3x dan zum digital sehingga 12x, selain menawarkan julat dinamik sehingga 14-stop. Dengan apertur f/1.8, ia turut membantu menghasilkan kesan bokeh yang lebih semula jadi ketika merakam gambar potret.

Untuk rakaman video, Osmo Pocket 4P menyokong rakaman sehingga 4K pada 240fps, selain mod Slow Shutter Video yang membolehkan pengguna menghasilkan kesan motion blur yang lebih kreatif. Ia juga hadir dengan profil warna D-Log 2 baharu bersama rakaman 10-bit, yang mampu merakam lebih daripada 1 bilion warna untuk memberikan fleksibiliti lebih luas ketika proses color grading.
Bagi memastikan rakaman sentiasa stabil, kamera ini dilengkapi gimbal mekanikal 3 paksi bersama sistem ActiveTrack 8.0. Ia mampu mengekalkan subjek berada di tengah bingkai sambil menjejaki manusia, haiwan peliharaan, kenderaan dan objek lain, termasuk ketika menggunakan zum sehingga 12x.

Selain mempunyai skrin sentuh yang boleh berputar, Osmo Pocket 4P turut dilengkapi 103GB storan dalaman, sedikit lebih kecil berbanding 107GB pada Osmo Pocket 4. Bagaimanapun, pengguna masih boleh menambah ruang simpanan menerusi slot kad microSD. Pemindahan fail ke peranti luar juga boleh dilakukan dengan pantas melalui sambungan USB 3.1 yang menyokong kelajuan pemindahan sehingga 800MB/s.

Dari segi ketahanan bateri, Osmo Pocket 4P mampu digunakan sehingga 210 minit dalam satu pengecasan. Ia juga menyokong pengecasan pantas, dengan bateri boleh dicas sehingga 80% dalam masa hanya 18 minit.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk DJI Osmo Pocket 4P.


