
LONDON: Novak Djokovic menemui prestasi terbaik selepas permulaan perlahan berdepan pemain Britain, Cameron Norrie Jumaat lalu untuk mara ke final Wimbledon buat kali kelapan dan akan berdepan Nick Kyrgios.
Pemain pilihan utama dari Serbia itu tewas pada set pertama tetapi bangkit untuk menang 2-6, 6-3, 6-2, 6-4.
Ia akan menjadi rekod final Grand Slam ke-32 dalam saingan lelaki buat juara Wimbledon enam kali itu yang membawanya satu di depan Roger Federer dan dua mengatasi Rafael Nadal.
Djokovic sudah tahu dia akan bertemu Kyrgios selepas Nadal menarik diri Khamis lalu menjelang pertemuan separuh akhir dengan pemain Australia itu kerana kecederaan perut.
Pemain Serbia itu yang mempunyai rekod kalah 2-0 di tangan Kyrgios, menjanjikan “aksi sengit” ketika dia menyasarkan gelaran Grand Slam ke-21 pada Ahad – yang membolehkan dia mengatasi Federer dan satu di belakang Nadal dalam pemburuan mahkota terhebat sepanjang zaman.
“Tugas masih belum selesai,” kata pemain berusia 35 tahun itu. “Satu perkara yang pasti – pastinya ada banyak aksi menarik secara emosi daripada kedua-duanya.”
“Dia bermain secara bebas,” tambahnya. “Dia adalah antara pemain dengan servis terbaik dalam permainan. Sudah agak lama kami tidak bertemu.
“Saya tidak pernah menang satu set berdepannya. Saya harap ia akan berbeza kali ini. Ia satu lagi final buat saya di Wimbledon, jadi saya harap pengalaman akan membantu saya.”
Servis Djokovic dipatahkan tiga kali pada set pertama oleh Norrie, yang menggembirakan sebahagian penonton, tetapi keadaan berubah secara dramatik buat pemain pilihan keenam dari Britain itu.
Djokovic kelihatan lebih tenang pada permulaan set kedua, berjaya menemui rentak dan tidak melakukan banyak kesilapan.
Pemain Serbia itu kini sudah mencatat 27 kemenangan berturut-turut di Wimbledon ketika dia berusaha menyamai pencapaian Pete Sampars yang merangkul tujuh gelaran di All England Club – hanya satu di belakang rekod Federer dalam saingan lelaki.
Pemain nombor satu Britain, Norrie merungut mengenai penurunan prestasinya yang membolehkan bekas pemain nombor satu dunia itu kembali ke dalam saingan tetapi dia bangga dengan pencapaiannya mara ke semi final.
“Saya fikir banyak yang boleh dibanggakan,” katanya.
“Datang ke sini sebagai pilihan keenam, harapan tinggi daripada semua orang di negara ini dan dari diri saya sendiri.”
Sementara itu, Kyrgios terlepas peluang untuk mengulangi kemenangannya pada 2014 ke atas Nadal di Wimbledon yang berjaya dibalas pemain dari Sepanyol itu tiga tahun kemudian.
Pemain Australia itu, yang akan bermain di final Grand Slam buat kali pertama, berkata pada Jumaat dia kecewa tidak berpeluang berdepan Nadal, mendakwa “semua orang mahu melihat kami berperang di sana”.
“Jelas anda tidak pernah mahu melihat seseorang seperti itu, yang sangat penting kepada sukan, mengalami kecederaan seperti itu,” katanya. “Saya pasti dia akan kembali di pentas besar.”
Susulan kejayaan mara ke final Wimbledon, Kyrgios menjadi finalis lelaki Grand Slam pertama Australia sejak Lleyton Hewitt di Terbuka Australia pada 2005.
Kyrgios didenda $14,000 selepas bertengkar dengan pesaingnya di pusingan ketiga, Stefanos Tsitsipas dan menjelang akhir suku akhir dia dilaporkan akan didakwa di mahkamah di Australia bulan depan atas pertuduhan menyerang.
“Saya tidak sangka akan berada di sini sejujurnya,” kata pemain berumur 27 tahun yang berada di ranking ke-40 dunia itu.
“Tetapi saya sangat bangga dan saya sudah bersedia. Saya akan memberikan segalanya dan lihat apa yang berlaku.”
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
