DKSH Malaysia terbit nota jangka sederhana RM300 juta, fokus pertumbuhan dan kelestarian

14/04/2025 - 16:30
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 14 April - DKSH Holdings (Malaysia) Bhd, melalui anak syarikatnya DKSH Malaysia Sdn Bhd, menerbitkan Nota Jangka Sederhana (MTN) berjumlah RM300 juta di bawah program baharu Nota Jangka Sederhana dan Kertas Komersial bernilai keseluruhan RM800 juta.
OCBC Bank (Malaysia) Bhd memaklumkan, pihaknya bertindak sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama, penasihat struktur kemampanan dan ejen kemudahan untuk program tersebut.
Menurutnya, pelancaran program itu memberi peluang kepada DKSH Malaysia untuk memperluas sumber pembiayaannya, sebagai sebahagian daripada strategi untuk memacu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan di Malaysia.
"Ia juga mencerminkan komitmen DKSH terhadap kelestarian, dengan memastikan pertumbuhan jangka panjang yang bertanggungjawab dan tahan lasak," jelas OCBC dalam satu kenyataan.
Program tersebut dirangka dengan fleksibiliti untuk menerbitkan nota berkaitan kemampanan, selaras dengan objektif kelestarian DKSH iaitu meningkatkan kesejahteraan komuniti, mewujudkan rantaian nilai yang mampan, mencapai sifar pelepasan karbon bersih dan memberi kesan positif di peringkat tempatan.
Nota berkenaan juga dikaitkan dengan sasaran kelestarian sosial dan alam sekitar DKSH, termasuk meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan kanan serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau Skop 1 dan 2 menjelang tahun 2030.
Naib Presiden DKSH Malaysia bagi segmen penjagaan kesihatan dan Ketua Kepimpinan Negara, Sandeep Tewari berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi kewangan syarikat untuk mengimbangi pembiayaan jangka pendek dan jangka panjang.
"Ini adalah pencapaian penting bagi DKSH Malaysia. Kami berterima kasih atas kerjasama rapat dengan OCBC Bank, yang banyak membantu merealisasikan usaha ini," ujarnya.
Tambah beliau, melalui usaha berkenaan, pihaknya bukan sahaja mengukuhkan masa depan kewangan syarikat, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan. - DagangNews.com
standard

