DKU: Keputusan rayuan gantung prosiding komital enam individu ditangguh ke tarikh lain

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 4:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: DKU: Keputusan rayuan gantung prosiding komital enam individu ditangguh ke tarikh lain

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan penggantungan prosiding komital tiga Undang Luak, seorang bekas Undang Luak dan dua pembesarnya atas dakwaaan melanggar perintah injunksi berhubung isu Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU).

Mereka ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh lain selepas selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak hari ini.

“Mahkamah menetapkan 14 September bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh keputusan,” kata Hakim Alwi. Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili enam individu itu berhujah kegagalan menangguhkan prosiding komital boleh menyebabkan rayuan itu menjadi nugatory (sia-sia) iaitu tidak lagi mempunyai kesan praktikal sekiranya prosiding di Mahkamah Tinggi diteruskan sebelum rayuan diputuskan.

Tambah beliau kerana, ini kerana terdapat pertikaian sama ada perkara (prosiding komital) berkenaan sepatutnya didengar Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Khas.

Beliau berkata, rayuan penangguhan enam individu berkenaan perlu didengar dan diputuskan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum prosiding di Mahkamah Tinggi diteruskan.

Sementara itu, peguam yang mewakili responden, Steven Thiru membantah permohonan itu dan memohon supaya ia ditolak.

“Prosiding komital itu timbul susulan dakwaan keenam-enam pemohon melanggar Perintah Injunksi ad-Interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu. Tiada keperluan untuk menangguhkan prosiding berkenaan kerana ia kini hanya ditetapkan untuk pengurusan kes pada 28 September depan dan belum mempunyai tarikh pendengaran substantif,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan DKU serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi tersebut.

Kesemua mereka memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain pada 8 Julai lepas, yang memutuskan terdapat kes prima facie dan mengarahkan mereka menjawab permohonan komital tersebut.

Roz Mawar turut menolak permohonan mereka untuk menangguhkan prosiding komital sementara menunggu rayuan diputuskan.

Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.

Antara kandungan minit mesyuarat itu ialah keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada 5 Jun lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai Setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai isu bidang kuasa serta sama ada pertikaian itu boleh diadili, dan sehingga perintah selanjutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari yang sama menunjukkan plaintif, khususnya Maarof, terlibat dalam proses pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 walaupun perintah injunksi itu masih berkuat kuasa.

Beliau mendakwa tindakan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.

Susulan dakwaan pelanggaran itu, Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah. – KOSMO! ONLINE

The post DKU: Keputusan rayuan gantung prosiding komital enam individu ditangguh ke tarikh lain appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved