‘Doa pecah perut gambaran kebencian kepada tauke judi’ - Zulkifli

LocalPolitics
28 Aug 2026 • 8:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: ‘Doa pecah perut gambaran kebencian kepada tauke judi’ - Zulkifli
Zulkifli Yahaya

ALOR SETAR - Ungkapan doa pecah perut yang disebut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah berkaitan isu pengharaman judi di negeri ini bukan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, ungkapan itu merupakan gambaran kebencian terhadap tauke judi yang didakwa membiayai kes berkaitan usaha kerajaan negeri menghentikan pengeluaran lesen premis perjudian.

Menurutnya, orang ramai perlu mendengar ucapan Muhammad Sanusi secara menyeluruh bagi memahami maksud sebenar yang disampaikan berhubung isu berkenaan.

“Doa pecah perut itu gambaran kebencian yang dituju pada tauke judi yang biayai kes, bukan PMX,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa Muhammad Sanusi telah mendoakan pecah perut terhadap Anwar dalam ceramah bertajuk Halangan Pengharaman Judi di Kedah yang diadakan di Dewan Seri Mentaloon pada Selasa lalu.

Zulkifli yang juga Ketua Penerangan Pas Kedah berkata, kerajaan negeri sebelum ini mengambil langkah mengharamkan kegiatan perjudian melalui penghentian pengeluaran lesen premis judi.

Bagaimanapun, katanya, keputusan mahkamah menetapkan kerajaan negeri tidak boleh berbuat demikian sekiranya lesen berkenaan diluluskan oleh pihak berkuasa Persekutuan.

Beliau berkata, keadaan itu bermakna sekiranya Menteri Kewangan meluluskan lesen perjudian kepada pengusaha di Kedah, kerajaan negeri perlu membenarkan premis terbabit beroperasi berdasarkan keputusan mahkamah berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved