Tidak sampai 24 jam dilancarkan, dana RM50,000 kos mahkamah isu judi capai sasaran

LocalPolitics
16 Aug 2026 • 1:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tidak sampai 24 jam dilancarkan, dana RM50,000 kos mahkamah isu judi capai sasaran
Tangkap layar media sosial Zulkifli.

ALOR SETAR - Belum sampai 24 jam tabung sumbangan rakyat bagi membiayai kos prosiding mahkamah Kerajaan Kedah berhubung isu pengharaman judi dilancarkan, dana tersebut dilaporkan sudah mencapai sasaran RM50,000.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, kutipan dana itu dihentikan serta-merta selepas pihaknya dimaklumkan Yayasan Kedah Sejahtera (YKS) bahawa sasaran diperlukan telah dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN: Perjuangan hapus judi di Kedah tidak bernoktah - Pas Kedah

Lesen judi: Rayuan Kerajaan Negeri Kedah ditolak dengan keputusan majoriti 2-1

Kedah putuskan tindakan susulan setelah tidak boleh 'sekat' lesen judi - Exco

Menurutnya, dana berkenaan dikumpulkan susulan keprihatinan rakyat Malaysia dan badan bukan Kerajaan, NGO yang menyatakan kesediaan untuk membantu menanggung kos prosiding mahkamah bagi pihak Kerajaan Kedah.

“Rakyat Malaysia yang budiman, saya dimaklumkan oleh YKS bahawa Dana Sumbangan Rakyat Untuk Membiayai Kos Mahkamah Isu Pengharaman Judi telah mencapai sasaran yang diperlukan.

“Dengan itu kutipan dana tersebut dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zulkifli berkata, pihak penganjur kutipan akan menghubungi pihak berautoriti Kerajaan Negeri Kedah berhubung penyaluran sepenuhnya dana berkenaan bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan.

Pada Sabtu, Zulkifli berkata, pejabat Menteri Besar Kedah memberi persetujuan agar YKS bertindak sebagai pengumpul dana bagi tujuan berkenaan.

Kutipan itu akan diurus dan diserahkan kepada pihak berkaitan mengikut saluran undang-undang serta tatacara kewangan YKS dan digunakan bagi tujuan pembayaran kos yang diperintahkan mahkamah.

Perkembangan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan mahkamah berkaitan arahan tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian di negeri itu.

Mahkamah Persekutuan turut memerintahkan Kerajaan Kedah membayar kos RM50,000 berikutan keputusan berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara berhubung permohonan tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Rhodzariah berkata, Kerajaan Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan melalui keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah berhubung tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Zulkifli dalam kenyataan sebelum ini berkata, kesediaan rakyat untuk membantu membiayai kos mahkamah itu sebagai tanda keprihatinan terhadap usaha kerajaan negeri dalam isu berkenaan.

“Ramai yang bertanya, ‘ada tabung, kami nak sumbang?’ ALLAH, hebat rakyat Kedah,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved