
KUALA LUMPUR – Seorang figura warga emas yang cukup dikenali dalam dunia kecergasan, digelar ‘Atok Shado’, dilaporkan mengalami serangan jantung dan berada dalam keadaan kritikal, sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @syawalqasha, yang memaklumkan insiden tersebut berlaku secara tiba-tiba.
“Siapa kenal atokkk shadoooooo? Semalam dia kena heart attack yang mana sangat kritikal.. doakan kesembuhan atokk
semoga baik-baik saja
,” tulisnya.
Perkongsian itu pantas mengundang reaksi netizen yang rata-ratanya terkejut memandangkan Atok Shado dikenali sebagai individu yang sangat aktif dan konsisten dengan gaya hidup sihat sejak bertahun-tahun lamanya.
Ada yang menyuarakan rasa kagum bercampur risau, menyatakan mereka yang jauh lebih muda pun belum tentu mampu melakukan rutin senaman sepertinya, apatah lagi pada usia emas. Tidak kurang juga yang mendoakan agar Atok Shado segera sembuh dan kembali sihat seperti sediakala.
Dalam pada itu, beberapa netizen turut berkongsi kenangan serta penghormatan terhadap Atok Shado yang dianggap sebagai antara ‘otai’ dan legenda dunia kecergasan tempatan. Malah, ada yang menyatakan beliau kekal ‘lean’ sepanjang zaman dan tidak pernah jemu ke gimnasium, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada ramai penggemar sukan dan senaman.
“Keadaan Sangat Teruk” – Pemilik Video Kongsi Detik Cemas
Menjawab kebimbangan orang ramai, pemilik video menjelaskan bahawa Atok Shado sememangnya sudah biasa dengan senaman intensif, namun kejadian kali ini berlaku secara mengejut.
Menurutnya, ini adalah kali pertama Atok Shado mengalami sakit dada secara tiba-tiba sehingga keadaannya menjadi kritikal. Malah, doktor yang merawat turut memaklumkan bahawa keadaan beliau ketika dibawa ke hospital berada pada tahap yang sangat serius.
Bagaimanapun, perkembangan terkini sedikit melegakan apabila dimaklumkan bahawa Atok Shado kini sudah berada dalam keadaan stabil.
“Alhamdulillah sekarang dah stabil,” katanya ringkas, sambil memohon orang ramai terus mendoakan kesembuhan Atok Shado. – The Malaysian Update
The post “Doakan Kesembuhan Atok” – ‘Atok Shado’ Kritikal Diserang Serangan Jantung, Kini Dilaporkan Stabil appeared first on The Malaysian Update.

