DOF sahkan hasil laut Kuala Juru selamat

LocalEnvironment
22 May 2026 • 6:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DOF sahkan hasil laut Kuala Juru selamat
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah berdepan kebimbangan apabila pencemaran Sungai Juru didakwa semakin serius sejak setahun lalu sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

GEORGE TOWN - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengesahkan hasil laut khususnya kerang dari perairan Kuala Juru selamat dimakan selepas analisis makmal mendapati kandungan logam berat dan biotoksin marin berada pada tahap rendah serta mematuhi standard keselamatan makanan negara.

Pengarah Perikanan Negeri Pulau Pinang, Azimah Jumatli berkata, keputusan itu diperoleh hasil analisis terhadap sampel air dan kerang yang dijalankan Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung dengan kerjasama Pusat Biosekuriti Perikanan Kuantan dan Pusat Biosekuriti Perikanan Selangor.

Menurutnya, pemeriksaan dijalankan susulan aduan berkaitan pencemaran yang diterima daripada komuniti setempat.

“Orang awam tidak perlu panik kerana hasil analisis yang dijalankan mengesahkan sumber perikanan di Kuala Juru masih selamat untuk dimakan dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, analisis meliputi parameter logam berat, kualiti air, plankton dan biotoksin marin.

Tambahnya, keputusan ujian mendapati kandungan logam berat seperti merkuri, kadmium dan plumbum dalam sampel kerang berada di bawah had maksimum yang dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983.

“Analisis biotoksin menggunakan kaedah High-Performance Liquid Chromatography (HPLC) turut merekodkan bacaan toksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) pada tahap rendah dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, analisis mikroskopi terhadap sampel air mengesahkan tiada kehadiran mikroalga toksik seperti Alexandrium spp., Dinophysis spp. dan Pseudo-nitzschia spp. yang boleh menyebabkan fenomena air pasang merah atau red tide.

"Bacaan ammonia dan nitrat di kawasan berkenaan juga mematuhi Standard Kualiti Air Kebangsaan Kelas IIA bagi pemeliharaan hidupan akuatik sensitif.

"Keputusan analisis itu menunjukkan keadaan perairan Kuala Juru serta hasil laut di kawasan terbabit masih berada pada tahap selamat dan terkawal," ujarnya lagi.

Menurut Azimah, DOF akan meneruskan pemantauan berkala terhadap aspek biosekuriti dan kualiti perairan bagi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kira-kira 100 penternak kerang dan nelayan di Kampung Kuala Juru, Seberang Perai Tengah berdepan kebimbangan apabila pencemaran Sungai Juru didakwa semakin serius sejak setahun lalu sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Pencemaran yang disyaki berpunca daripada pembuangan sisa kilang dan sisa kolam ternakan udang di kawasan berkenaan menyebabkan lebih 50 peratus hasil pendapatan penternak dan nelayan terjejas susulan kematian kerang serta ikan di sungai tersebut.

Masalah tersebut menjadi semakin serius selepas pintu saliran sisa buangan kilang di Sungai Derhaka yang bersambung dengan Sungai Juru dibuka semula selepas sekian lama ditutup.