GEORGE TOWN – Isu pencemaran Sungai Kereh di Kampung Selamat dan kawasan sekitar Seberang Perai Utara bukan hanya berpunca daripada aktiviti penternakan babi, sebaliknya melibatkan pelbagai faktor lain termasuk sistem perparitan, aktiviti pertanian serta pelepasan sisa daripada pelbagai sumber.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, kerajaan negeri mengakui pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah berlarutan itu yang telah lama menjejaskan kualiti hidup penduduk setempat.
Menurutnya, isu pencemaran yang dibangkitkan di kawasan berkenaan memerlukan kerjasama pelbagai agensi bagi mengenal pasti punca sebenar dan melaksanakan tindakan pembetulan secara bersepadu.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kini digerakkan secara bersama bagi memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan.
“Isu ini tidak hanya tertumpu kepada satu sumber sahaja. Ia melibatkan pelbagai faktor yang memerlukan pendekatan lebih holistik dan bersepadu,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Sobri Salleh (Pas-Permatang Berangan) mengenai isu pencemaran di Sungai Kereh di Kampung Selamat serta jumlah aduan pencemaran dalam tempoh dua tahun dan tindakan yang telah diambil.
Katanya, isu berkenaan telah beberapa kali dibangkitkan oleh wakil rakyat termasuk di kawasan Sungai Dua, Permatang Berangan dan Teluk Air Tawar.
“Saya memahami kebimbangan yang dibangkitkan dan kerajaan negeri komited melaksanakan penambahbaikan seperti yang telah dibincangkan bersama wakil rakyat di kawasan terlibat,” katanya.
Mooi Lye menambah, kerajaan negeri memandang serius aduan berkaitan pengurusan sisa tidak teratur yang turut menyebabkan pencemaran serta ketidakselesaan penduduk.
Dalam masa sama, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri tidak menafikan wujudnya kelemahan tertentu dari aspek penguatkuasaan khususnya melibatkan kekangan tenaga kerja dan logistik di peringkat agensi pelaksana.
Jelasnya, DVS terus menjalankan pemeriksaan, siasatan aduan serta pemantauan ladang ternakan walaupun berdepan pelbagai cabaran operasi.
“Penguatkuasaan tetap dijalankan secara berterusan melalui pemeriksaan berkala, pemeriksaan mengejut serta tindakan pembetulan terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan satu pertemuan telah diadakan pada 23 April lalu melibatkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), JAS dan DVS bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu Sungai Kereh.
“Antara cadangan yang dibincangkan ialah pemindahan sisa ternakan ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar untuk diproses menggunakan teknologi pencernaan anaerobik yang menukarkan sisa organik kepada biogas.
“Kaedah itu bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran sungai, malah menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui negeri.
“Mesyuarat susulan turut diadakan pada 11 Mei bagi mempercepatkan proses kelulusan projek berkenaan, termasuk keperluan mengemas kini laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA),” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan pengusaha ladang ternakan untuk beralih kepada teknologi moden bagi memastikan pematuhan alam sekitar yang lebih ketat serta mengurangkan risiko pencemaran pada masa depan.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff (Pas-Sungai Dua) mempersoalkan keberkesanan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu pencemaran yang didakwa berlarutan sejak sekian lama.
Muhammad Fauzi mendakwa penduduk masih berdepan masalah bau busuk, pencemaran air serta gangguan alam sekitar walaupun pelbagai tindakan telah diambil.


