
KUANTAN – Pemergian Pakar Pediatrik KMI Kuantan Medical Centre (KMC), Dr. Siti Noor Ali Shibramulisi nyata meninggalkan kesan mendalam buat ramai pihak terutama rakan setugas, pesakit serta ibu bapa yang pernah menerima rawatannya.
Menerusi satu perkongsian menyentuh hati oleh pengguna Threads, @_ahmadreefqee, beliau berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang doktor sangat baik, penyayang dan sentiasa mengutamakan pesakit walaupun sedang menanggung kesakitan sendiri.
Menurutnya, pada 5 Mei lalu iaitu kira-kira 10 hari sebelum pemergian Allahyarhamah, beliau sempat meminta Dr. Siti Noor merakam video ucapan sempena Nurses Day.
Walaupun ketika itu berada dalam keadaan penat dan sibuk menguruskan pesakit, Allahyarhamah tetap melayan permintaan tersebut dengan penuh baik hati.
Tetap Berkhidmat Walaupun Menanggung Kesakitan
“Hari demi hari keadaan beliau semakin merosot sehingga dimasukkan ke wad untuk close monitoring. Kami di ED menjadi saksi bagaimana seorang doktor yang dahulunya ceria dan sentiasa kuat mula menahan kesakitan,” tulisnya.
Tambahnya lagi, di sebalik ujian kesihatan yang dihadapi, Allahyarhamah tetap meneruskan tanggungjawab menjaga pesakit-pesakit kecilnya dengan penuh kasih sayang dan dedikasi.
Allahyarhamah juga disifatkan sebagai seorang doktor yang sangat disenangi ramai kerana sentiasa menjadi tempat ibu bapa berkongsi kerisauan mengenai anak-anak mereka.
Selain itu, beliau turut dikenali sebagai individu yang pemurah serta tidak pernah berkira membantu staf hospital walaupun dihubungi pada lewat malam atau awal pagi untuk urusan kerja.
“Beliau juga sangat pemurah, sering berkongsi rezeki dengan staf ED dan tidak pernah berkira membantu walaupun dihubungi pada jam 3 atau 4 pagi untuk noted case,” katanya lagi.
Netizen Turut Sebak Dan Titip Doa
Perkongsian tersebut turut mengundang sebak dalam kalangan netizen yang rata-ratanya menyifatkan Allahyarhamah sebagai insan berhati mulia dan sangat disayangi ramai meskipun ada antaranya tidak pernah mengenali beliau secara peribadi.
Malah, ramai turut mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan penghuni syurga serta berharap keluarga terutama suami dan anak-anak diberikan kekuatan menghadapi kehilangan besar itu.
Ada juga yang menyifatkan video terakhir Allahyarhamah itu sebagai kenangan paling berharga dan mengakui jasa serta kebaikannya akan sentiasa diingati.
Berjuang Melawan Kanser Usus Sejak 2024
Terdahulu, media melaporkan Dr. Siti Noor Ali Shibramulisi meninggal dunia pada Jumaat selepas berjuang melawan kanser usus yang dihidapinya sejak Julai 2024.
Allahyarhamah yang dilahirkan pada 27 April 1970 dikenali sebagai seorang doktor berdedikasi dan cukup dekat dengan pesakit kanak-kanak serta ibu bapa di sekitar Kuantan.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin.
Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan segala jasa baiknya terus menjadi asbab pahala berpanjangan. Al-Fatihah. – The Malaysian Update
The post Doktor Disayangi Ramai Pergi Buat Selamanya, Perkongsian Rakan Setugas Undang Sebak Netizen appeared first on The Malaysian Update.
