
TAMPIN – Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pergigian dari Universiti Alexandria, Mesir, tidak menghalang seorang graduan muda untuk menimba pengalaman bekerja di sebuah kafe sementara menunggu penempatan sebagai pegawai pergigian.
Bagi Fatin Batrisyia Muhamad Pauzi, 25, pengalaman bekerja di luar bidang pengajian bukan sesuatu yang perlu dipandang rendah, sebaliknya menjadi ruang untuknya mempelajari kemahiran baharu sebelum melangkah ke alam kerjaya.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia memilih untuk bekerja di kafe bagi mengisi masa lapang sementara menunggu proses penempatan selain mahu memanfaatkan tempoh tersebut dengan melakukan sesuatu yang memberi pengalaman.
“Pada awalnya saya cuma fikir hendak isi masa lapang, tetapi kerja dalam bidang makanan dan minuman ini rupa-rupanya banyak melatih kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan,” katanya ketika ditemui di Sugar Dust Courtside Cafe, di sini semalam.
Menurut Fatin antara perkara yang dipelajarinya ialah mengendalikan operasi kafe serta menyediakan makanan termasuk roti bakar, telur selain memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
Tambahnya, pengalaman itu memberinya sedikit gambaran mengenai pengurusan perniagaan, sesuatu yang dianggap berguna memandangkan dia menyimpan impian untuk membuka klinik pergigian sendiri suatu hari nanti.
“Kita boleh belajar banyak perkara daripada setiap pekerjaan dan pengalaman itu akan menjadi kemahiran yang kita bawa ke hadapan,” katanya.
Fatin turut aktif menghasilkan kandungan berkaitan pendidikan dan kesedaran pergigian menerusi TikTok yang mempunyai kira-kira 45,000 pengikut.
“Saya sangat sarankan supaya kita tidak hanya fokus kepada satu perkara. Banyakkan pengalaman walaupun susah kerana pengalaman itu yang akan membezakan kita dengan orang lain,” katanya yang telah pun mendapat lesen pergigian daripada Majlis Pergigian Malaysia dua bulan lalu.
The post Doktor gigi tak sangka kerja kafe ajar banyak perkara appeared first on Kosmo Online.



