
Pernah tak anda perasan, bila makan terlalu laju, akan wujud rasa tidak selesa atau rasa mencucuk pada bahagian perut?
Atau bila anda terlalu sibuk dan tak sempat makan, perut anda rasa tidak selesa dan berangin?
Ini mungkin menjadi petanda seseorang itu mengalami pedih ulu hati, gastrik atau lebih teruk GERD. Cara yang mudah dan cepat untuk melegakannya adalah dengan pengambilan ubat menahan sakit.
Namun, tahukah anda, terlalu bergantung kepada ubat tahan sakit sebenarnya boleh ‘memburukkan’ keadaan?
Doktor Jelas Ubat Boleh Jadi Punca Kerosakan Mukosa Perut & Usus Jika Diambil Berlebihan
Menerusi satu perkongsian oleh doktor perubatan, Dr Zubaidi Haji Ahmad di Facebook miliknya, dia mendedahkan pengambilan ubat boleh menjadi punca kerosakan mukosa perut atau juga dikenali sebagai lapisan mukus pelindung dan usus.
“Ubat bukan musuh, tapi cara kita ambil tanpa ilmu dan tanpa bimbingan doktor boleh membawa lebih banyak mudarat dari manfaat,” tulisnya lagi.
Doktor Beri Senarai Ubat & Kesannya Kepada Perut
Menerusi perkongsian itu, Dr Zubaidi turut menyenaraikan ubat yang sering diambil oleh mereka yang mempunyai masalah pedih ulu hati, gastrik dan GERD serta kesannya kepada individu.
Antara senarai ubat tersebut adalah seperti:
#1 Ubat Tahan Sakit (NSAIDs) Seperti Ibuprofen, Diclofenac & Mefenamic Acid
Kesan pengambilan ubat ini boleh merosakkan lapisan perut, menyebabkan ulser dan radang yang kronik.
#2 Steroid Anti-Radang Seperti Prednisolone & Dexamethasone
Pengambilan ubat ini pula boleh menyebabkan atrofi (pengecutan) mukosa, gangguan pada sistem imun usus malah radang boleh bertambah jika diberhentikan pengambilannya secara mengejut.
Jelas Dr Zubaidi, pengambilan ubat jenis ini memerlukan pengawasan ketat jika digunakan.
#3 Antibiotik Spektrum Luas Seperti Amoxicillin, Clarithromycin & Metronidazole
Melalui perkongsian itu, Dr Zubaidi turut menjelaskan pengambilan ubat jenis ini secara tidak terkawal boleh membunuh bakteria baik di usus, menyebabkan dysbiosis, leaky gut (ketirisan usus) dan gangguan pencernaan yang berpanjangan.
“Risiko: Gastritis menjadi lebih sukar pulih kerana mikrobiota musnah,” kongsinya.

#4 Ubat Hentikan Asid (PPIs) Seperti Omeprazole, Esomeprazole, Pantoprazole
Pengambilan ubat ini tanpa kawalan boleh menyebabkan berlakunya pengurangan asid sekaligus makanan tidak dapat dihadam dengan sempurna serta fermentasi yang boleh menyebabkan berlakunya Small Instentinal Bacterial Overgrowth (SIBO).
Keadaan ini juga boleh menyebabkan GERD bertambah teruk.
Jelas Dr Zubaidi lagi, pengambilan ubat jenis PPIs ini hanya sesuai untuk jangka masa yang pendek.
#5 Ubat Kencing Manis Antaranya Seperti Metformin
Kesan pengambilan ubat ini juga boleh menyebabkan ketidakselesaan pada usus, cirit-birit dan berpotensi untuk mengalami leaky gut.
“Ramai tak sedar: Masalah pedih hulu hati kadang-kadang bukan hanya dari makanan, tetapi dari ubat kawalan gula juga,” katanya lagi.

Doktor Titip Nasihat Apa Yang Patut Dibuat
Menerusi perkongsian itu juga, Dr Zubaidi turut mencadangkan lima langkah yang boleh diambil dalam menangani masalah tersebut.
Lima langkah itu adalah:
- Jangan bergantung kepada ubat tanpa bimbingan doktor. Tidak semua ubat sesuai untuk jangka masa panjang.
- Rawat dari akar (punca), bukan sekadar reda simptom.
- Amalkan pemakanan & gaya hidup sihat adalah asas penyembuhan.
- Fokus pemulihan mukosa usus dan keseimbangan mikrobiota.
- Gantikan ubat tahan sakit dan antibiotik dengan makanan anti-radang semula jadi seperti kunyit, halia, minyak zaitun, dan probiotik.
Bercakap tentang merawat daripada punca, antara perkara yang boleh anda lakukan adalah mengawal pemakanan harian.
Berdasarkan pengalaman penulis, antara makanan yang patut dielak oleh pesakit GERD dan gastrik adalah seperti:
- Kafein seperti teh dan kopi
- Makanan berasid dan buah-buahan citrus seperti limau, lemon atau strawberi dan epal masam
- Makanan pedas dan berminyak
- Makanan dan minuman berasakan tenusu seperti susu, keju, teh tarik dan lain-lain.
- Minuman berkarbonat
Gastritis & GERD: Bila Ubat Bukan Lagi Penyelamat . Ramai antara kita mengalami masalah gastrik, pedih ulu hati, atau…
Posted by Dr Zubaidi Hj Ahmad on Wednesday 30 April 2025
Baca Artikel Berkaitan: Disangkakan Gastrik, Dr Jelaskan Ia Boleh Jadi Simptom ‘Silent Heart Attack’
Baca Artikel Berkaitan: Sering Alami Gastrik? Ini 4 Tips Yang Anda Boleh Amalkan Ketika Puasa
Source:



![Tak Tahu Nak Buat Apa Jika Berlaku Kematian Di Rumah? Ini Langkah Awal Yang Boleh Dilakukan [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/family-and-parenting.jpeg)