Doktor ke Sabah, Sarawak ada hingga 7 Oktober untuk lapor diri

LocalHealth & Fitness
3 Oct 2026 • 11:14 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Doktor ke Sabah, Sarawak ada hingga 7 Oktober untuk lapor diri

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, doktor yang ditugaskan ke Sabah dan Sarawak diberi ruang serta masa  cukup untuk melaporkan diri bermula 30 September lalu hingga 7 Oktober ini.

Menurut beliau, pada masa ini masih terlalu awal untuk menilai tindakan yang dikenakan terhadap mereka jika tidak melaporkan diri.

Katanya, doktor terbabit mungkin memerlukan sedikit masa untuk berpindah ke lokasi penempatan baharu di Sabah dan Sarawak.

“Mungkin doktor tersebut bertukar dari Terengganu atau Pulau Pinang dan sudah tentu mereka memerlukan sedikir masa untuk sampai ke Sabah dan Sarawak.

“Kemungkinan mereka juga ditempatkan di pedalaman. Jadi pada pandangan saya, kita tunggu sehingga masa ditetapkan.

“Selepas itu, baru kita boleh ulas bagaimana perkara ini akan dilihat dari sudut pematuhan kepada penempatan terbabit,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni Pesara, di sini hari ini.

Mengulas sekiranya mereka boleh dikenakan tindakan jika gagal melaporkan diri, beliau memaklumkan,  perkara itu ada dinyatakan dalam peraturan perkhidmatan awam.

“Memang ada dalam klausa di situ (surat penempatan), maknanya mereka wajib melaporkan diri dan tindakan berdasarkan peraturan dalam perkhidmatan awam boleh diambil.

“Bagaimanapun, kita tunggu sehingga tempoh berkenaan selesai, baru kita boleh lihat bagaimana cara untuk uruskan isu terbabit,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa hospital di Sabah dan Sarawak berdepan kekurangan pegawai perubatan (MO) selepas tiada doktor baharu didakwa melapor diri bagi pengambilan jawatan tetap bulan ini.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mendedahkan jumlah sebenar MO tidak hadir melapor diri, namun dakwaan ‘kehilangan’ pegawai perubatan dari penempatan masing-masing didedahkan pengguna Threads.

Berdasarkan perkongsian, pengguna mendedahkan Hospital Kanowit, Sarawak tidak menerima seorang pun MO melapor diri bagi jawatan tetap, menyebabkan hanya tiga MO mengendalikan keseluruhan fasiliti berkenaan.

Di Hospital Miri, daripada 35 MO melapor diri bagi pelantikan tetap, 16 adalah MO baharu, manakala selebihnya MO kontrak yang sudah berkhidmat di fasiliti terbabit.

Bagaimanapun, seorang doktor mengadu bahawa jabatan pediatrik hanya menerima dua MO baharu untuk bulan lalu.

 

 

 

The post Doktor ke Sabah, Sarawak ada hingga 7 Oktober untuk lapor diri appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved