Peluang terakhir Izzat Hilmi buru podium di Putrajaya

3 Oct 2026 • 5:53 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peluang terakhir Izzat Hilmi buru podium di Putrajaya

BATU PAHAT: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil enggan mengalah dalam memburu kedudukan podium Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) selepas hasrat untuk melakukannya di laman sendiri pada Peringkat 7, hari ini, tidak kesampaian.

Anak kelahiran Batu Pahat itu sekadar berpuas hati di kedudukan ke-16 keseluruhan sekali gus muncul pelumba terbaik Malaysia dalam perlumbaan sejauh 158.9 kilometer (km) dari Melaka ke Batu Pahat.

Izzat Hilmi berkata, perlumbaan tersebut berlangsung dalam keadaan cukup pantas dengan beberapa pelumba melakukan serangan sejak awal perlumbaan sebelum empat pelumba berjaya membentuk kelompok pelarian.

“Mereka hampir dikejar, tetapi mereka terus mengekalkan momentum dan berjaya bertahan sehingga ke penghujung perlumbaan.

“Dalam kelompok saya tadi, saya fikir sasaran yang masih boleh dicapai adalah pelumba (terbaik) Asia. Saya cuba untuk mendapatkan kedudukan itu, tetapi sedikit tersangkut di selekoh terakhir.

“Saya hampir mendapat tempat kedua Asia, tetapi pelumba dari Jepun (Hijiri Oda) memotong saya kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat.

“Perlumbaan masih belum habis dan masih ada satu peringkat lagi. Kita tidak tahu bagaimana rezeki dan keadaan perlumbaan esok,” katanya.

Katanya lagi, impian untuk menaiki podium LTdL yang dipasang sejak 2023 masih belum tercapai, namun Izzat Hilmi percaya sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil.

“Saya boleh dapat tempat keempat, jadi mestilah boleh dapat tempat ketiga dan kedua. Yang penting, saya terus mencuba dan cuba sedaya upaya,” katanya.

LTdL26 memasuki Peringkat 8 dan terakhir hari ini dengan perlumbaan dari Muar ke Putrajaya sejauh 188.3km menawarkan tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai selain satu zon pendakian di Bukit Mantin.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Izzat Hilmi di pentas LTdL adalah menamatkan Peringkat 1 edisi 2023 di tempat keempat keseluruhan sebelum mengulangi pencapaian sama pada Peringkat 6 LTdL 2025.-UTUSAN

The post Peluang terakhir Izzat Hilmi buru podium di Putrajaya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved