Doktor Malaysia Cipta Sejarah, Jadi Individu Pertama Dari Asia Dilantik Sebagai Presiden IASP

LocalHealth & Fitness
30 Oct 2026 • 10:39 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Doktor Malaysia Cipta Sejarah, Jadi Individu Pertama Dari Asia Dilantik Sebagai Presiden IASP

Pakar perubatan dari Malaysia, Dr Mary Suma Cardosa mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama dari Asia dilantik sebagai Presiden International Association for the Study of Pain (IASP).

Untuk pengetahuan, IASP merupakan sebuah organisasi antarabangsa terkemuka yang memberi tumpuan kepada usaha memajukan penyelidikan, pendidikan dan penjagaan berkaitan kesakitan, sepanjang lebih 50 tahun penubuhannya.

Dr Mary Suma Cardosa Presiden IASP

Cardosa secara rasmi memulakan tugas sebagai presiden pada Jumaat sempena majlis penutupan Kongres Dunia Mengenai Kesakitan 2026 di Bangkok, Thailand, menggantikan Andrew Rice dari United Kingdom.

Beliau akan memegang jawatan itu selama dua tahun sehingga 2028.

Sebagai pakar bius dan tokoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bidang perubatan kesakitan, Cardosa telah menghabiskan lebih tiga dekad memajukan pengurusan kesakitan di Malaysia serta memperkukuh pendidikan dan perkhidmatan klinikal berkaitan kesakitan di seluruh Asia Tenggara.

Beliau sebelum ini turut mencipta sejarah pada 2011 sebagai wanita pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Kepimpinan beliau membantu memperluas akses kepada penjagaan kesakitan secara multidisiplin serta menggalakkan pengintegrasian pengurusan kesakitan dalam sistem kesihatan.

Antara sumbangan beliau termasuk membantu menubuhkan perkhidmatan pengurusan kesakitan akut pertama Kementerian Kesihatan Malaysia pada 1993 dan klinik kesakitan multidisiplin pertama negara pada 2000.

Beliau juga menerajui inisiatif Hospital Tanpa Kesakitan (Pain Free Hospital) yang dilancarkan pada 2011 bagi meningkatkan pengenalpastian dan pengurusan kesakitan dalam persekitaran penjagaan kesihatan.

Baca juga:

Komited perluas akses dan tingkatkan penjagaan kesakitan

"Kesakitan memberi kesan kepada penduduk di setiap negara, namun akses kepada penjagaan kesakitan yang berkesan masih amat tidak seimbang.

"Sepanjang kerjaya saya, saya telah melihat hasil yang mampu dicapai apabila kita melabur dalam pendidikan, memperkukuh perkhidmatan klinikal dan menghimpunkan pakar daripada pelbagai disiplin.

"Sebagai Presiden IASP, saya berharap dapat bekerjasama dengan komuniti global kita untuk memajukan sains kesakitan dan membantu memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai orang, tidak kira di mana mereka tinggal," kata Cardosa.

Image from: Doktor Malaysia Cipta Sejarah, Jadi Individu Pertama Dari Asia Dilantik Sebagai Presiden IASP

Selain sumbangannya di Malaysia, Cardosa turut melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif serantau dan antarabangsa bagi meningkatkan keupayaan penjagaan kesakitan, termasuk melatih petugas kesihatan serta menyokong pembangunan perkhidmatan kesakitan multidisiplin di negara yang mempunyai sumber terhad.

Pengalaman beliau mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa yang semakin meningkat dalam menangani jurang penyelidikan, pendidikan dan rawatan berkaitan kesakitan.

"Kekuatan IASP terletak pada keupayaannya menghimpunkan penyelidik dan pakar klinikal dari seluruh dunia untuk memperluas pemahaman kita mengenai kesakitan.

"Mary membawa pengalaman klinikal yang luas serta perspektif antarabangsa yang bernilai kepada jawatan ini.

"Saya berharap dapat melihat beliau terus memperkukuh kekuatan saintifik dan kerjasama global IASP bagi memajukan penyelidikan kesakitan serta meningkatkan kualiti hidup mereka yang terjejas akibat kesakitan," kata bekas Presiden IASP, Andrew Rice.

Sebagai presiden, Cardosa akan mengetuai usaha antarabangsa IASP untuk memajukan kajian mengenai kesakitan dan menterjemahkan pengetahuan saintifik kepada penambahbaikan penjagaan kesakitan di seluruh dunia.

Tempoh kepimpinan beliau juga bertepatan dengan pelaksanaan Pelan Strategik IASP 2026 hingga 2030 yang menekankan kecemerlangan saintifik, perkongsian ilmu, kerjasama global serta pengukuhan peranan IASP dalam memajukan penjagaan kesakitan.

Peralihan kepimpinan itu turut menyaksikan Michele Sterling dari Australia memulakan penggalnya sebagai Presiden Terpilih IASP.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved