Renjoy jenama hotel dari China pilih Desaru sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara

30 Oct 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Renjoy jenama hotel dari China pilih Desaru sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara Image from: Renjoy jenama hotel dari China pilih Desaru sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara amree30/10/2026 - 14:20 Foto kredit Jin Jiang Hotels Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt — Desaru, Johor bakal menjadi lokasi hotel pertama berjenama Renjoy di Asia Tenggara apabila Jin Jiang Hotels merancang transformasi sebuah resort sedia ada kepada hotel bertaraf pertengahan atasan, sekali gus memperluas kehadiran di Malaysia.

 

Menurut kenyataan kumpulan perhotelan dari China itu, Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa akan dinaik taraf dan dijenamakan semula sebagai Renjoy Hotel Desaru melalui perjanjian pengurusan dimeterai bersama subsidiari Techvance Group, Techvance Hotel & Resort.

 

Ujarnya, transformasi resort tepi pantai itu akan memberi lebih tumpuan kepada usaha pembaharuan bilik penginapan, pengenalan aspek jamuan selera yang serba baharu serta penambahbaikan kemudahan hotel bagi meningkatkan lagi tahap pengalaman pengunjung.

 

Pengurus Besar Serantau Jin Jiang Hotels bagi Malaysia dan Indonesia, Li Xun berkata, projek berkenaan merupakan langkah penting untuk memperkenalkan jenama Renjoy ke Asia Tenggara selain memperluas kehadiran kumpulan itu dalam segmen resort di Malaysia.

 

"Lokasi Desaru yang mempunyai tarikan pantai memberikan asas kukuh kepada pembangunan jenama berkenaan, selain kerjasama dengan Techvance membolehkan identiti tempatan resort dikekalkan menerusi penambahbaikan reka bentuk dan standard perkhidmatan," jelasnya.

 

Pengarah Urusan Techvance Group, Datuk Edward Lau berkata, pemilihan Jin Jiang Hotels sebagai rakan pengurusan dibuat berdasarkan rangkaian antarabangsa dan kepakaran operasinya yang melengkapi pengetahuan serta visi tempatan kumpulan itu.

 

Sand & Sandals_DagangNews2026
SUASANA Sand & Sandals Desaru Beach Resort & Spa yang akan dijenamakan semula sebagai Renjoy Hotel Desaru

 

Tambah beliau, transformasi tersebut dijangka meningkatkan lagi pengalaman penginapan, mengukuhkan kedudukan pasaran resort itu serta mewujudkan nilai jangka panjang tanpa mengabaikan aspek identiti hospitaliti premis berkenaan yang sudah sedia ada.

 

Selain projek di Johor, Jin Jiang Hotels turut merancang memperkenalkan hotel berjenama 7 Days Premium di Tanjung Malim, Perak pada separuh pertama tahun depan. Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai projek berkenaan belum didedahkan ketika ini.

 

Pengembangan itu menyusuli perkembangan positif sektor pelancongan negara apabila Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelancong asing pada 2025, meningkat 11.2% berbanding tahun sebelumnya, dengan kira-kira 4.7 juta pelawat berasal dari China.

 

Johor pula menerima seramai 10.63 juta pelancong yang datang bermalam pada sepanjang tahun lalu dengan menyediakan sebanyak 34,986 bilik hotel. Kerajaan negeri tersebut menyasarkan ketibaan 12 juta pelancong menerusi kempen Tahun Melawat Johor 2026.

 

Jin Jiang Hotels di Malaysia merupakan cabang operasi tempatan kumpulan Jin Jiang yang disenaraikan di Bursa Saham Shanghai. Setakat 30 Jun 2026, kumpulan itu mengendalikan 14,404 hotel dengan 1.39 juta bilik penginapan di lebih 50 negara dan wilayah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved