Doktor Maut Kereta Terbabas Selepas Pulang Bermain Futsal

23 Jul 2025 • 5:46 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang doktor lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah stor penyimpanan gas di Jalan Kampung Undang, di Kuala Terengganu, pada Selasa.

Mangsa maut setelah beberapa jam menerima rawatan

Menurut laporan Sinar Harian, mangsa Muhammad Hariz Hashim, 35, yang bertugas di sebuah klinik kesihatan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Wad Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 11.33 malam, hari sama.

image is not available

Foto: FB Hariz Herry

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa memandu dari arah gelanggang futsal Kampung Undang menuju ke rumahnya di Bukit Bayas.

“Kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan kanan dan merempuh stor penyimpanan gas di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan serius dan dihantar ke HSNZ oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian,” katanya.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Dalam kejadian berasingan di Jalan Seberang Takir, Kuala Nerus, seorang remaja lelaki turut maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan dan terbabas sendiri.

Mangsa, Ammar Shakireel Nazhan Rosli, 18, dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di bandar Kuala Terengganu ke rumahnya di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir.

“Ketika tiba di lokasi, motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan. Mangsa dihantar ke HSNZ dan disahkan meninggal dunia pada jam 8.09 malam di wad kecemasan,” ujarnya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian (Norhaspida Yatim)