
TAWAU: Empat pemilik syarikat termasuk seorang bapa dan anaknya, masing-masig didenda antara RM20,000 hingga RM34,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Selasa kerana mengemukakan penyata akaun bank dan lesen perniagaan palsu.
Tertuduh, Bahrin Ambo Eri @ Erek, 56, dan anak perempuannya, Hasmizah, 29, Mohd Hafiz Irawan, 34, serta Muhammad Endra Abd Sarakal, 41, mengaku salah selepas pertuduhan alternatif dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Kesemua mereka didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu penyata bank dan lesen perniagaan sebagai tulen kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna untuk mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin sekolah rendah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di antara 26 - 27 Oktober 2017.
Bahrin Ambo dan Hasmizah masing-masing didenda berjumlah RM32,000, manakala Mohd Hafiz didenda RM34,000 dan Mohammad Endra didenda RM20,000.
Setiap tertuduh berdepan empat pertuduhan kecuali Muhammad Endra yang berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama dan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, perbuatan memalsukan dokumen adalah antara kesalahan yang kerap dilakukan oleh kontraktor dalam urusan perolehan tender kerajaan.
Menurutnya, kesalahan itu boleh dielakkan sekiranya mereka mematuhi segala syarat dan prosedur yang ditetapkan.
“Saya nasihatkan jika mahu masuk tender, kena ikut syarat selain pastikan modal di dalam akaun bank mencukupi dan bukannya mengambil tindakan memalsukan dokumen,” katanya.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rekhraj Singh A/L Jaswant Singh, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

