
Sebuah dokumentari yang mengupas tindakan Israel menggunakan sistem penyasaran berkuasa kecerdasan buatan (AI) di Semenanjung Gaza, bertajuk “NAZA”, telah dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Juri Khas di Festival Filem Venice.
Karya berdurasi 80 minit terbitan pengarah Israel, Yuval Abraham dan Rachel Szor, itu menampilkan pengakuan 24 pemberi maklumat daripada kalangan tentera serta pegawai perisikan Israel. Dalam dokumentari berkenaan, responden mendedahkan bagaimana penggunaan AI menukar siri serangan udara dan pembunuhan di Gaza menjadi operasi yang disifatkan seperti “kilang” atau permainan video yang berdarah.
Ketika menerima anugerah tersebut, Abraham menegaskan bahawa pembunuhan beramai-ramai yang berlaku bersifat sistemik dan berpunca daripada dasar penyahmanusiaan terhadap rakyat Palestin. Beliau turut menyuarakan harapan agar masyarakat Israel sendiri menonton filem berkenaan bagi menyedari jenayah yang dilakukan oleh rejim mereka.
Naskhah ini menerima pujian meluas daripada pengkritik filem antarabangsa atas keberanian dan ketepatan mesej yang disampaikan, di samping mencetuskan rasa simpati serta kemarahan penonton terhadap kemusnahan berterusan di Gaza.
Sumber: TRT World dan Agensi




