
TEBING BARAT: Israel didakwa membiayai sebuah badan pemikir palsu di Amerika Syarikat (AS) serta rangkaian laman sesawang yang kelihatan bebas dalam usaha mempengaruhi sistem kecerdasan buatan (AI) dan mendorong chatbot menghasilkan naratif pro-Israel, menurut siasatan The Guardian.
Operasi itu didakwa sebahagian daripada kempen Israel bernilai jutaan dolar untuk mempengaruhi kandungan maklumat dalam talian ketika negara itu berdepan kemerosotan sokongan antarabangsa susulan perang di Gaza dan konflik serantau yang semakin meluas.
Pegawai Israel sebelum ini mengakui kempen propaganda besar-besaran berkenaan tidak mencapai hasil yang diharapkan, walaupun ratusan juta dolar dibelanjakan bagi usaha hasbara.
Pendedahan itu muncul beberapa hari selepas pegawai komunikasi kanan Israel secara terbuka mengakui mencipta maklumat palsu dalam kempen propaganda negara itu.
Eli Hazan, pegawai komunikasi Parti Likud dan bekas jurucakap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, berkata kebenaran dan fakta tidak lagi penting.
“Saya mencipta berita palsu sebagai tindak balas kepada mereka,” katanya, sambil menggesa Israel membanjiri ruang maklumat dan menggunakan pendekatan komunikasi seperti Presiden AS, Donald Trump.
Kenyataan itu dibuat ketika The Guardian mendedahkan hasil siasatannya mengenai Institut Dasar Awam Hanover, sebuah badan pemikir yang mendakwa berpangkalan di AS tetapi dipercayai diwujudkan sebagai sebahagian daripada operasi pengaruh yang dibiayai kerajaan Israel.
Menurut The Guardian, Hanover dipercayai tidak wujud sebagai entiti sah, tidak mempunyai alamat fizikal, tidak menyenaraikan kakitangan dan tiada nama penulis pada bahan yang diterbitkannya. Namun, antara 6 hingga 14 Ogos, badan itu menerbitkan 124 laporan yang didakwa sebagai kajian akademik, mengandungi lebih 560,000 perkataan.
Hampir semua tajuk laporan berbentuk soalan yang menyerupai pertanyaan pengguna kepada chatbot AI, termasuk mengenai Nakba, anti-Zionisme, pendudukan Israel dan dakwaan sama ada Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Bahan itu disusun menyerupai kajian ilmiah dengan rujukan kepada Bank Dunia, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amnesty International, statistik Palestin serta teks undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, The Guardian mendapati penyampaiannya berulang kali cuba meredakan kritikan terhadap Israel dan menimbulkan keraguan terhadap bukti sedia ada berkaitan Gaza. Strategi itu dipercayai menyasarkan sistem AI selain pembaca manusia.
Laman sesawang Hanover dibangunkan menggunakan teknologi Res, yang menyifatkan dirinya sebagai ‘platform kandungan asli AI’ bagi membantu syarikat mendapatkan sebutan oleh sistem seperti ChatGPT, Perplexity, Claude dan Gemini.
Piro Inc, syarikat media berpangkalan di New York yang mengendalikan Hanover, turut menawarkan perkhidmatan yang dinamakan ‘Pengoptimuman Cerita AI’, bagi menghasilkan kandungan yang direka khusus berdasarkan cara model bahasa besar menilai kredibiliti.
Piro mendaftarkan kerjanya untuk kerajaan Israel di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing Amerika Syarikat.- AGENSI
The post Israel biaya badan pemikir palsu untuk manipulasi AI, sebar propaganda appeared first on Utusan Malaysia.





