Dominic Lau kesal tindakan berbaju Melayu dikritik

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 5:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dominic bergambar bersama Muhyiddin di majlis rumah terbuka Aidilfitri, pada Sabtu lalu.

PUTRAJAYA – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau melahirkan rasa kesal apabila tindakannya mengenakan pakaian tradisional Melayu ketika menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dipertikaikan oleh segelintir pihak.

Beliau berkata, pemakaian baju Melayu lengkap bersongkok itu adalah sebagai tanda hormat terhadap sambutan Aidilfitri serta mencerminkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Sebagai Presiden parti berbilang kaum, saya hadir dengan mengenakan pakaian tradisional Melayu lengkap bersongkok, namun begitu amat dikesali apabila tindakan yang bertujuan memupuk perpaduan dan mencerminkan rasa hormat ini telah disalah tafsir oleh segelintir pihak, malah dilabel sebagai ‘menjual maruah’ dan ‘tidak berprinsip’,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, menghormati kepelbagaian budaya bukanlah satu bentuk merendahkan diri, sebaliknya merupakan asas penting dalam pembentukan negara Malaysia yang berbilang kaum.

"Kita hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan budaya sama ada kaum Cina, Melayu, India atau lain-lain, mengenakan pakaian tradisional ketika perayaan atau majlis rasmi adalah satu bentuk adab, tanda hormat, serta simbol perpaduan nasional," jelas Dominic.

Tegas beliau, Gerakan berpendirian bahawa rakyat harus bergerak ke arah sebuah Malaysia yang benar-benar inklusif, pelbagai dan saling menghormati bukan mentakrifkan maruah secara sempit dan selektif.

"Maruah sebenar bukanlah menolak budaya orang lain, tetapi terletak pada keupayaan kita memahami dan menghormatinya, sambil kekal teguh dengan identiti sendiri serta menghargai kepelbagaian negara.

Parti Gerakan akan terus berpegang kepada prinsip kesederhanaan, rasional dan keterangkuman dalam usaha membina Malaysia yang lebih bersatu serta harmoni," katanya.

Terdahulu, Dominic memuat naik hantaran dan beberapa keping gambar ketika mengunjungi rumah terbuka Muhyiddin, Sabtu lalu.

Bagaimana pun, warga maya meninggalkan komentar berbaur sinis dan kritikan di ruangan komen di bawah hantaran berkenaan.