
KUALA LUMPUR — Figura sukan terkenal dari New Zealand, Sonny Bill Williams sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila tampil segak mengenakan busana tradisional Melayu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menerusi perkongsian di Instagram rasminya, beliau memuat naik foto bersama keluarga lengkap berbaju Melayu, sekali gus meraih pujian dalam kalangan netizen Malaysia.

Dalam kapsyen yang ditulis, beliau turut mengucapkan, “Selamat Hari Raya From Johor, Malaysia. Love, The Williams,” selain berseloroh mengenai cabaran merakam gambar keluarga dengan menambah, “Disclaimer – struggle is real to get a nice family photo ”.
Netizen Puji Penampilan
Ruangan komen hantaran tersebut turut dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya, khususnya rakyat Malaysia yang teruja melihat beliau mengenakan pakaian tradisional tempatan.
Rata-rata netizen mengucapkan Selamat Hari Raya kepada beliau sekeluarga sambil memuji penampilannya yang segak dan kemas berbaju Melayu. Tidak kurang juga yang berkongsi rasa ‘relate’ dengan gurauan beliau mengenai kesukaran mendapatkan gambar keluarga yang sempurna.
Selain itu, ada juga yang mendoakan kesejahteraan beliau serta berharap dapat bertemu di Tanah Suci suatu hari nanti, sekali gus menunjukkan hubungan rapat dan penghargaan peminat terhadap figura sukan berkenaan.
Penampilan Sonny Bill Williams dalam persalinan tradisional itu bukan sahaja mencerminkan penghargaan terhadap budaya tempatan, malah mengeratkan lagi hubungan beliau dengan peminat di Malaysia. – The Malaysian Update
The post Legenda Sukan New Zealand, Sonny Bill Williams Tampak Segak Berbaju Melayu Raih Perhatian appeared first on The Malaysian Update.
